suria

Pengusaha Bas Berang Unisel Tamatkan Kontrak Tanpa Notis

KUALA SELANGOR: Sekumpulan 15 pengusaha bas yang menyediakan perkhidmatan bagi penuntut Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya membantah tindakan pengurusan universiti yang didakwa menamatkan kontrak mereka tanpa sebarang notis.

Tindakan itu dilihat akan menjejaskan 900 penuntut institusi milik kerajaan negeri Selangor itu yang menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik hampir setiap hari dari kawasan seperti Taman Ilmu dan Kota Puteri untuk ke universiti itu.

Pengarah Urusan Konsortium Bas Ekspres Melayu (Klang) Sdn Bhd, Mohd Kamal Mohamed Noor, yang mewakili pengusaha bas berkenaan, mendakwa penamatan kontrak itu pada 7 Julai melanggar syarat perjanjian dengan pihak universiti, sedangkan ia sepatutnya berakhir pada 21 Okt.

"Tempoh kontrak bagi menyediakan bas ulang-alik ini adalah setahun namun ia akan ditamatkan Julai. Kami tidak diberi sebarang notis oleh pihak Unisel mengenainya," katanya.

Mohd Kamal bercakap kepada pemberita di luar kampus Unisel Bestari Jaya di sini pada Isnin, ketika menyertai pengusaha bas berkenaan yang berkumpul secara aman sebagai membantah perkembangan itu.

Beliau mendakwa perkara itu hanya sampai ke pengetahuan pengusaha bas berkenaan apabila dimaklumkan oleh pelajar Unisel.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Unisel kampus Bestari Jaya Muhammad Aiman Kamarudin berkata tuntutan pengusaha bas berkenaan telah disampaikan kepada pihak universiti dan tindakan sedang diambil bagi mengatasi masalah itu.


Unisel, Klang

Artikel Lain