suria

Peniaga Bazar Ramadan Perlu Jaga Kebersihan Makanan

KUALA LUMPUR: Peniaga makanan di bazar Ramadan sekitar ibu kota diingatkan supaya memastikan kebersihan produk jualan mereka atau berhadapan dengan tindakan disenaraihitamkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata amaran dikeluarkan bagi mengekalkan rekod sifar keracunan makanan di bazar Ramadan.

"Sehingga kini, tidak pernah berlaku keracunan makanan di bazar Ramadan, di tahun-tahun lepas tidak ada, jadi kita harap tahun ini kita dapat kekalkan rekod itu," katanya selepas merasmikan Operasi Bazar Ramadan 2014, di Taman Tasik Permaisuri di sini pada Isnin.

Mohd Amin berkata operasi itu akan merangkumi pemeriksaan aspek kebersihan, pengendalian, pemakaian apron, penutup kepala serta memeriksa status suntikan taifoid.

Beliau berkata, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar akan mengambil sampel makanan secara rawak daripada penjaja-penjaja di bazar mulai Isnin.

"Kami akan menganalisis sampel itu bagi mengenalpasti jika terdapat sebarang bahan yang boleh membahayakan kesihatan," katanya.

"Tahun ini lebih 5,000 penjaja dibenarkan menjaja di sekitar 76 kawasan bazar yang kami sediakan," kata Mohd Amin. 


Ramadan, DBKL

Artikel Lain