suria

Lima Kawasan Di Lembah Klang Alami Gangguan Bekalan Air

PETALING JAYA: Sebanyak 758,976 kediaman di lima kawasan sekitar Lembah Klang mula mengalami masalah tekanan air rendah dan terputus bekalan berikutan penurunan paras air di Empangan Sungai Selangor dan gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor sejak Selasa.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, lima kawasan terlibat terdiri daripada Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam dan Hulu Langat.

Menurutya, beberapa kawasan di sekitar Klang dan Shah Alam telah mengalami masalah terputus bekalan air dan tekanan rendah tidak berjadual sejak Selasa berikutan penutupan sementara Loji rawatan Air Sungai Selangor yang diurus oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

"Ini berikutan gangguan bekalan elektrik sejak pukul 4 hingga 6 pagi hari yang sama di loji rawatan air tersebut. Ia sekali gus menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat daripada loji rawatan itu.

"Walaupun Loji Rawatan Air itu telah beroperasi semula, namun bekalan air ke kawasan yang terlibat masih belum pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya, beberapa kawasan di Gombak, Kuala Lumpur dan Petaling pula mengalami masalah terputus bekalan air dan tekanan rendah sejak Rabu berikutan penurunan paras  air di Sungai Selangor.

Priscilla memberitahu, lori-lori tangki dan tangki statik akan disediakan bagi membuat pengagihan kecemasan.

"Bagaimanapun, keupayaan bantuan amat terhad dan tidak mampu menampung semua permintaan. Keutamaan bantuan akan diberi kepada pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara kematian atau kenduri.

"Syabas akan melakukan pemantauan secara berterusan dan perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui pihak media," jelasya.

Difahamkan, kawasan-kawasan baru yang mengalami masalah terputus bekalan air dan tekanan air rendah akan diumumkan oleh Syabas dalam tempoh terdekat.

Syabas

Artikel Sebelum

Artikel Lain