suria

Tiga Silinder Cetuskan Letupan Di Klang

Antara kenderaan yang musnah akibat letupan yang berlaku di Klang pagi Jumaat.
KLANG: Kawasan sibuk berhampiran pusat beli-belah Kompleks Centrepoint di sini telah digegarkan dengan beberapa siri letupan apabila tiga silinder gas tiba-tiba meletup.

Silinder-silinder yang dipenuhi dengan gas etilena yang digunakan dalam kerja kimpalan dan membentuk serta memotong besi ketika itu sedang diangkut dalam kenderaan jenis Toyota Hilux.

Tiada siapa yang mengalami kecederaan kecuali pemandunya, dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi di belakang deretan rumah kedai di Jalan Taiping.

Empat kenderaan lain yang diletakkan berdekatan, iaitu sebuah lori, sebuah kereta Proton Wira, Chevrolet dan sebuah Perodua Viva rosak teruk dalam letupan itu, yang juga mengakibatkan asap hitam dapat dilihat dari sejauh beberapa kilometer.

Orang ramai yang lalu di situ bergegas menghantar pemandu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk rawatan.

Sekumpulan enam anggota bomba dari stesen Sungai Pinang bergegas ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan api dan membersihkan serpihan dua jam kemudian.

Menurut pegawai bertugas stesen, Maulud Bedul, penyiasatan forensik menunjukkan terdapat kebocoran pada salah satu silinder.

"Kami memeriksa salah satu CCTV yang dipasang di kawasan itu dan melihat pemandu telah memberhentikan kereta untuk sementara waktu. Letupan itu berlaku apabila dia mula memandu semula," kata Maulud, sambil menambah enjin kereta dibiarkan hidup sepanjang masa.

"Pemandu mungkin telah merokok, sekali gus mencetuskan letupan," katanya.

Sementara itu, polis menolak ia mempunyai kaitan dengan perbuatan jenayah.
slinder, meletup, KLang

Artikel Lain