suria

Rasuah: Bekas Penolong Pegawai Kementerian Didakwa

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penolong pegawai di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap enam pertuduhan memperoleh rasuah hampir RM600,000.

Hazmi Samsudin, 39, bertugas sebagai penolong pegawai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ketika kejadian di kementerian itu, didakwa menerima sogokan antara RM98,455 hingga RM99,640.

Mengikut pertuduhan, bagi pertuduhan pertama dan keenam, Hazmi didakwa memperoleh rasuah 10 peratus daripada setiap enam projek kerajaan melalui enam syarikat berlainan dengan perantaraan seorang individu bernama Zainal Arifin Lahuri.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Aras 1-6, Blok E, Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Datuk Onn, di sini, antara Jun 2011 dan Oktober 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili tertuduh merayu kepada mahkamah agar mengurangkan jumlah jaminan kepada RM30,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja dan ibu bapanya.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kemudian menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula.

Hazmi membayar jaminan itu.
Hazmi Samsudin, rasuah

Artikel Lain