suria

PM Mahu Rakyat Kongsi Maklumat Tentang P1MPIN

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat berkongsi maklumat tentang inisiatif kerajaan dalam menyediakan Pelan Insurans 1Malaysia untuk Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN).

"Tanpa peniaga-peniaga kecil kita, manalah nak dapat burger dan pisang goreng? Marilah berkongsi maklumat antara rakan-rakan kita tentang inisiatif P1MPIN," kata Najib dalam catatan terbaharu Facebook beliau Jumaat.

Pelan yang diperkenalkan kerajaan pada 1 Januari 2013 itu merupakan pelan perlindungan insurans berkelompok penjaja dan peniaga kecil.

Mengikut pelan itu, penjaja dan peniaga kecil mendapat perlindungan kemalangan 24 jam sehari tanpa mengira di mana sahaja mereka berada sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan itu.

Sementara itu dalam catatan lain di Facebook beliau, Najib berkata rakyat Malaysia perlu mengikuti rapat perkembangan trend semasa yang sentiasa berubah-ubah agar mereka tidak ketinggalan. 

"Seseorang yang boleh menyepadukan kemahiran perniagaan dan kesedaran sosial akan mampu memanfaatkan pasaran perniagaan moden dan inovatif," kata beliau semasa mengongsi berita Bernama semalam yang bertajuk 'Social entrepreneurship Skills Should Be Adopted By Students' (Kemahiran Keusahawanan Sosial Perlu Diguna Pakai Pelajar).

Berita tersebut memetik Pegawai Maklumat di Kedutaan Amerika Syarikat Harvey Sernowitz sebagai berkata bahawa kemahiran keusahawanan sosial menerusi kombinasi kemahiran perniagaan dan kesedaran sosial perlu diguna pakai oleh generasi muda terutamanya pelajar untuk menjadi usahawan muda yang berjaya dan pemimpin masa hadapan. 

Sernowitz berkata demikian pada program Fulbright English Teaching Assistants (ETA) di Kuala Terengganu semalam.

Artikel Lain