suria

Najib, Rosmah Meriahkan Persandingan Anak Sulung Ahmad Maslan

Pasangan pengantin Umar Akramullah dengan Maszuraizana Man 'berselfie' dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis persandingan mereka di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya, malam Jumaat. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyerikan majlis persandingan anak lelaki Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan di Dewan Seri Endon, Puspanita, Presint 10 di sini malam Jumaat. 

Tampil sedondon berbaju Melayu dan baju kurung berwarna 'turquoise', ketibaan Najib dan Rosmah kira-kira 8.30 malam disambut Ahmad serta isteri, Datin Noraini Sulaiman. 

Perdana menteri dan isteri juga dijemput menyertai majlis makan beradab bersama pasangan pengantin, Umar Akramullah dan Maszuraizana Man serta kedua-dua ibu bapa mempelai.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, dan Rosmah meluangkan lebih sejam meraikan pasangan pengantin baharu itu di samping beramah mesra dengan kira-kira 1,500 tetamu.

Umar merupakan anak sulung daripada empat beradik dijabkabulkan dengan Maszuraizana di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu.

Hadir sama pada majlis itu termasuk Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor;
Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Ahmad Maslan, Umar Akramullah

Artikel Lain