suria

Bot Karam Di Banting: 13 Mayat Ditemui Sehingga 7 Malam

Anggota keselamatan mengangkat salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam di Jeti Kelanang di Kuala Langat, Khamis. -fotoBERNAMA
KUALA LANGAT: Dua lagi mayat mangsa tragedi bot karam di perairan Kuala Sungai Air Hitam di sini ditemui petang ini, menjadikan 13 mangsa ditemui lemas setakat ini dalam tragedi Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azman Abdul Razak berkata mayat dua lelaki berumur 30-an itu ditemui di persisiran Pantai Morib dan Pulau Carey 5 petang tadi.

"Tiga belas mayat iaitu 10 lelaki dan tiga wanita ditemui setakat ini sejak insiden itu berlaku Selasa lepas," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata mayat dua lelaki itu yang tidak mempunyai sebarang dokumen itu ditemui 5 petang tadi, manakala seorang lelaki dan seorang wanita ditemui selamat di perairan Pantai Air Hitam yang menjadikan jumlah mangsa selamat sebanyak 63 orang setakat hari ini.

"Usaha mencari dan menyelamat 21 lagi individu diperluaskan kepada lima zon meliputi 25 batu nautika dan tertumpu di zon B iaitu dari Kuala Sungai Langat menghampiri Sungai Air Hitam.

"Pagi ini kita jumpa mangsa yang masih hidup di kawasan zon B jadi kita percaya peratusan menjumpai mangsa di tempat itu tinggi," kata Azman.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama agensi-agensi maritim dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat meneruskan operasi pada malam ini berikutan keadaan cuaca baik.

Azman berkata setakat ini masih tiada waris atau keluarga mangsa menuntut atau membuat pengecaman mayat.
Unit anjing pengesan turut digunakan dalam operasi mencari mangsa namun dihentikan sementara berikutan tiada sebarang penemuan mangsa.

Skuad penyelam juga belum diaktifkan kerana tiada keperluan namun ia masih dalam perbincangan, katanya.

 
Beliau turut menafikan khabar angin kononnya terdapat sindiket negara jiran yang menggunakan 'teknik' membawa masuk kayu paya bakau ke negara ini namun sebaliknya mereka membawa keluar warga asing secara haram.

"Dalam usaha membanteras kegiatan tersebut, kita (polis) juga sedang mengenal pasti 'laluan tikus' yang digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan haram itu," katanya.

Sementara itu, seorang daripada mangsa bot karam di perairan Sungai Air Hitam yang masih hilang hilang dikenali sebagai Kasmawati, 36, didakwa menggunakan perkhidmatan itu kerana terdesak selepas dipaksa berkahwin oleh seorang lelaki yang turut memukulnya.

Sepupu kepada mangsa, Maryana Madan, 52, berkata, adik sepupunya itu mempunyai pas lawatan yang tamat tempoh dan disebabkan itu dia cuba meninggalkan negara ini secara haram.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di Kuala Langat itu masuk ke negara ini secara sah tetapi pas lawatannya telah tamat sejak setahun lalu.

"Dia sering mengadu kepada saya seorang lelaki memaksanya berkahwin sehingga memukulnya dan mahu kembali ke Aceh, Indonesia.

"Saya ada menasihatnya untuk kembali ke Aceh secara sah, tetapi dalam diam-diam dia telah menaiki bot tersebut.
Maryana berkata, dia bagaimanapun reda jika adik sepupunya itu ditemui meninggal dunia.

"Sekiranya dia ditemui mati, saya berhasrat untuk membawa pulang jenazahnya ke Indonesia untuk dikebumikan," katanya.
bot karam, Banting, Kuala Langat

Artikel Lain