suria

18 Kawasan Di Sekitar KL Alami Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual

KUALA LUMPUR: Sejumlah 17,500 akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di 18 kawasan sekitar ibu kota mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Kenyataan Syabas pada Khamis menyebut gangguan bekalan air itu disebabkan penurunan paras air di kolam-kolam utama yang menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Sungai Langat.

Ia berkata masalah itu timbul berikutan permintaan air yang tinggi yang telah melebihi kapasiti bekalan.

Kawasan yang terlibat adalah Jalan Lapangan Terbang Lama (TUDM), Sungai Besi, Chan Sow Lin, Wisma Putra, Belemy, Kerayung, Jalan Sanpeng, Dataran FNN, seluruh Taman Seputeh dan Bukit Seputeh. 

Selain itu, kawasan lain adalah Jalan Syed Putra, Taman Segar, Pandan Perdana, Pandan Indah, Taman Kencana, Maju Jaya, Lembah Maju dan Taman Tayton View.

"Pengguna di kawasan yang tidak terjejas dengan gangguan bekalan air itu diminta sentiasa menggunakan air secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian paip pecah atau bocor supaya menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas iaitu PUSPEL di talian bebas tol 1-800-88-5252.
gangguan bekalan air, Syabas

Artikel Lain