Mangsa Culik Tidak Disiksa Sepanjang Ditahan Jolo - Semasa | mStar

Mangsa Culik Tidak Disiksa Sepanjang Ditahan Jolo

Gao (kanan) dan Mimi.
KOTA KINABALU: Kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf tidak menyiksa atau mengapa-apakan warga China Gao Huayun dan pekerja resort Filipina Marcy Dayawan @ Mimi dalam tempoh 58 hari mereka ditawan di kawasan hutan di Jolo.

Walau bagaimanapun, Mimi, 40, sentiasa diancam untuk  dipenggal kepalanya jika keluarga Gao tidak membayar wang tebusan dalam masa 20 hari selepas mereka membuat panggilan.

Difahamkan, dua wanita itu yang telah diserahkan kepada kumpulan Abu Sayyaf dengan bayaran oleh kumpulan penculik yang berpusat di Tawi Tawi itu sentiasa dijaga oleh sekurang-kurangnya 40 lelaki bersenjata selepas mereka terus dibawa ke Jolo.

Mereka tidak dianiaya dan diberi makanan nasi dan ikan setiap hari, tetapi pernah sekali mendapat hidangan sayur-sayuran sepanjang mereka ditawan.

Selepas rundingan berminggu-minggu, mediator berjaya menyelamat dan membebaskan Gao, 29 tahun dan Mimi pada hari Jumaat, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Mereka kemudian dibawa dari Jolo ke Sandakan pada pukul 4.30 petang sebelum diterbangkan ke Kota Kinabalu.

Kedua-dua mereka berlepas ke Kuala Lumpur awal pagi semalam, manakala Gao terbang segera untuk pulang ke Shanghai.

Polis sedang meneliti dokumentasi perjalanan untuk Mimi sebelum dia dihantar pulang ke Filipina.

Kedua-dua wanita itu yang sering menangis semasa dikurung, tidak pernah terfikir bahawa mereka akan dibebaskan satu hari nanti dan bersyukur dengan pembebasan mereka.

Dilaporkan, terdapat 'wanita ketiga' dengan mereka tetapi mereka tidak pasti sama ada dia adalah tebusan atau sebahagian daripada kumpulan itu.

Kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf, yang terdiri daripada remaja sehingga lelaki berusia 40-an sering memerhatikan tebusan mereka di kawasan hutan di sebuah kampung di Jolo.

Pada 2 April, Gao dan Mimi telah dibawa lari oleh tujuh lelaki bersenjata dalam 'pumpboat' kecil dari Singamata Reef Resort di Semporna sebelum mereka dipindahkan ke bot berkuasa tinggi dan terus dibawa ke Jolo.

Difahamkan, mereka dibawa ke sebuah kawasan hutan, tetapi tiga hari kemudian apabila helikopter tentera Filipina berlegar di kawasan itu, mereka berpindah ke kawasan pedalaman di mana mereka kekal di situ sehingga mangsa berjaya diselamatkan.

Walaupun Gao telah bersatu semula dengan keluarganya di China, nasib Mimi masih tidak diketahui kerana keluarganya, termasuk ibu bapanya, masih tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Makam di bandar Semporna.

Jirannya berkata, mereka tidak melihat ahli-ahli keluarganya yang pada mulanya ditahan polis atas kemungkinan wujudnya kaitan antara mereka dan penculik.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, polis telah membebaskan ahli keluarganya selepas disoal siasat.

Beliau berkata, bagaimanapun, mereka masih menyiasat sama ada Mimi mempunyai sebarang kaitan dengan penculikan itu.

Polis negeri dan polis Bukit Aman telah mengambil keterangan daripada Gao dan Mimi.

"Jika kita yakin bahawa Mimi tidak terlibat, dia akan dihantar balik ke keluarganya di Filipina," kata beliau ketika dihubungi.
Gao Huayun , Mimi , Jolo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain