suria

Sistem Ganjaran Pengamal Perubatan Diteliti Semula - Dr Subramaniam

Dr S.Subramaniam
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji semula sistem ganjaran untuk fasiliti dan pengamal perubatan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan jagaan kesihatan di negara ini. 

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ini bagi memastikan sistem itu seiring dengan usaha kementerian membangunkan sistem pengurusan berasaskan keputusan dalam sektor perubatan dan daftar perubatan kebangsaan bagi semua bidang.

"Kita sedang meneliti model-model dari beberapa negara seperti Sistem Kesihatan Kebangsaan British yang memberi ganjaran berasaskan hasil kepada pengamal perubatan jagaan primer.

"Contohnya jika klinik kerajaan mencatat prestasi dan hasil yang baik, klinik itu akan diberi lebih banyak sokongan untuk membangunkan fasiliti tertentu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan ke-44 Persatuan Ortopedik Malaysia (MOA), di sini Khamis.

Beliau berkata kementerian juga mengalu-alukan usaha persatuan jagaan kesihatan seperti MOA yang sedang membangunkan daftar ortopedik di negara ini.

Beliau berkata dengan kewujudan daftar terbabit, pengamal perubatan dan pesakit akan dapat mengenal pasti identiti serta mengukur prestasi, selain mengesan sebarang peningkatan.

Sementara itu, mengenai isu halal coklat Cadbury, Dr Subramaniam berkata sumber pencemaran DNA khinzir dalam coklat terbabit hanya akan diketahui dalam tempoh tiga minggu.

Sabtu lepas kementerian itu mengesahkan kewujudan DNA khinzir dalam dua produk coklat susu keluaran Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd.

Artikel Lain