suria

30 Sept Perbicaraan Kes Mustapa Saman Husam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menetapkan 29 dan 30 Sept ini sebagai tarikh baharu perbicaraan kes saman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed terhadap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa serta empat lagi.

Tarikh baharu itu ditetapkan selepas Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan permohonan Mustapa menangguhkan perbicaraan tersebut yang sebelum ini ditetapkan selama empat hari bermula 26 Mei depan.

Saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Husam terhadap Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkaitan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Peguam Abdul Hakeem Aiman Mohd Affandi yang mewakili Mustapa memberitahu media bahawa anak guamnya memohon penangguhan itu atas alasan beliau akan menyertai tugas rasmi kerajaan ke China bermula 26 Mei hingga 1 Jun ini.

Hakim Nor Bee membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan kehadiran Abdul Hakeem Aiman, peguam Mohd Fitri Asmuni mewakili Husam dan Azhana Mohd Khairuddin mewakili empat defendan lain iaitu parti PAS, Setiausaha Agung PAS yang juga pemegang permit akhbar Harakah Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Zulkifli Sulong serta Pengarang Azmi Yusof.

Ditanya mengenai saksi yang akan memberi keterangan dalam perbicaraan itu, Abdul Hakeem Aiman berkata sebanyak enam saksi plaintif akan dipanggil termasuk Mustapa manakala Azhana pula berkata defendan akan memanggil lima saksi.

Pada 22 April tahun lepas, Mustapa memfailkan saman terhadap kelima-lima defendan dan mendakwa Husam, pada 23 Mac 2013, dalam ceramah politiknya di Tapak Expo Machang, Kelantan, mengeluarkan perkataan fitnah terhadap beliau berhubung saham FGVH.

Mustapa yang juga Anggota Parlimen Jeli, mendakwa sehari selepas itu, PAS dan defendan lain menerbitkan perkataan fitnah tersebut dalam harakahdaily.net. yang boleh diakses berjuta-juta pengguna laman sesawang berkenaan.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau seorang pemimpin dan ahli politik yang korup, tidak berkredibiliti serta menyalahgunakan kuasanya bagi kepentingan peribadi dan pemimpin Umno.

Akibat kenyataan fitnah itu, Mustapa mendakwa reputasi beliau secara peribadi dan profesional terjejas teruk selain dimalukan dan beliau antaranya memohon ganti rugi untuk libel (fitnah untuk penerbitan), teladan serta perintah injunksi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan fitnah berkenaan.


Umno, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Lain