suria

PRK Bukti Gelugor: Calon Faktor Penentu Kejayaan BN

Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi Parlimen Bukit Gelugor pada pilihan raya kecil, 25 Mei ini bergantung kepada karisma calon yang dipilih, kata Datuk Seri S.Samy Vellu.

Bekas Presiden MIC yang kini Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, berkata rakyat akan melihat apakah faedah yang ditawarkan parti sebelum membuat keputusan memilih calon terbaik bagi mewakili mereka.

"Apabila seseorang itu dipilih sebagai calon, rakyat akan menilai bagaimana mereka bertindak balas, bagaimana calon itu memikat hati dan memperjuang kehendak mereka," katanya, pada Ahad.

Kerusi Bukit Gelugor diisytihar kosong selepas penyandangnya, Karpal Singh dari DAP, terbunuh dalam nahas di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak pada 17 April lalu.

Pada Pilihan Taya Umum Ke-13, Karpal memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi, menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam.

Terdahulu, Samy Vellu melancarkan buku bertajuk 'Kailash Darshan', yang berkisar kepada alam sekitar dan pengalaman unik yang bakal dialami seseorang individu dalam pengembaraan ke Banjaran Gunung Himalaya. Gunung Kailash terletak di kawasan terpencil di barat laut Tibet, China.

Mengulas buku itu, Samy Vellu berkata penulisnya, Kailai Karul, membawa destinasi baharu bagi menarik minat pelancong Malaysia melawat Gunung Kailash, yang menawarkan situasi aman dan tenang untuk beribadat.

"Saya akan bertemu Menteri Pelancongan (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) dalam usaha mempertingkat pelancong Malaysia, India dan Nepal," katanya.

Gunung Kailash merupakan kawasan beribadat yang dianggap suci oleh oleh penganut empat agama iaitu Hindu, Buddha, Jain dan pengikut agama asli Tibet bon.

Sementara itu, Kailai Karul berkata beliau mengambil masa lima tahun untuk menyiapkan buku berkenaan, yang mengandungi 121 muka surat serta 144 gambar, dalam Bahasa Inggeris dan Tamil.

"Saya mengambil keputusan untuk menerbitkan buku mengenai Gunung Kailash kerana tidak ramai yang mengetahui lokasinya, dan memberi gambaran kepada pembaca selain persiapan yang perlu dibuat jika mereka berhasrat memulakan perjalanan suci itu," katanya. 


Artikel Berikut

Artikel Lain