suria

SPRM Syor Kerajaan Negeri Gubal Dasar Tak Beri Projek, Tanah Kepada Keluarga

Abu Kassim Mohamed.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan agar semua kerajaan negeri menggubal satu dasar melarang pengurniaan projek atau tanah kepada keluarga terdekat anggota pentadbiran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata langkah itu penting bagi mengelak persepsi wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam pentadbiran mereka.
 
"Kita akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri... sebenarnya langkah ini sudahpun dimulakan.
 

"Saya juga telah meminta pengarah-pengarah (negeri SPRM) saya agar mengambil langkah bagi mengadakan perbincangan bersama ketua kerajaan negeri," katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Amalan Kredibiliti, Masyarakat Berintegriti dan Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di sini, Sabtu.

Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Cina menandatangani CIP, antaranya Persatuan Belia Kristian Malaysia, Persatuan Graduan Muda dan Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia.

 
Sementara itu, Abu Kassim menggesa lebih ramai pihak tanpa mengira kaum tampil menyokong agenda memerangi rasuah kerana ia amat penting untuk memastikan kejayaan misi berkenaan.
 
"Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh SPRM dalam menangani isu rasuah di negara kita akan hanya menjadi sia-sia tanpa sokongan semua pihak, apabila ada yang enggan memberikan maklumat berhubung rasuah kepada SPRM," katanya.

Beliau berkata cadangan pindaan Akta SPRM 2009 yang dijangka dibentang di Parlimen tahun ini akan memperkukuh usaha suruhanjaya itu dalam memerangi rasuah.
 
"Antara pindaan yang disyorkan ialah aspek berkaitan pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan pembentukan sebuah suruhanjaya perkhidmatan khusus bagi SPRM.
 
"Selain itu, peruntukan baharu berkaitan liabiliti korporat dan penyiasatan membabitkan kekayaan di luar kemampuan juga sedang diteliti," katanya.

SPRM

Artikel Lain