suria

Najib & Obama Lancar Magic di Cyberjaya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama melihat go-kart elektrik hasil syarikat Dream Edge Racing sempena pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya pada Ahad. -Foto BERNAMA
CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hari ini melancarkan secara rasmi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini.

Obama, yang dalam lawatan tiga hari ke Malaysia, singgah di Cyberjaya bagi mendengar taklimat mengenai MaGIC, yang beliau sifatkan sebagai bukti kepada kerjasama penting Malaysia-AS.

Pemimpin Amerika Syarikat itu meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu dan berbual dengan pelajar dan usahawan muda terpilih.

Dalam ucapannya, Obama berkata Malaysia dan AS mempunyai komitmen bersama untuk menggalakkan keusahawanan terutamanya dalam kalangan golongan muda.
 
"Kami mahu anda dapat mewujudkan benda-benda dan memulakan syarikat anda sendiri dan perniagaan, dan menghasilkan produk dan perkhidmatan anda sendiri kerana itulah cara masyarakat kita berkembang.
 
"Impian dan bakat anak-anak muda ini membantu menjana ekonomi kita dan mewujudkan peluang pekerjaan dan mereka juga merapat negara-negara," kata Obama.

Beliau berkata di seluruh dunia, Amerika Syarikat telah membantu usahawan muda menghubung dan bekerjasama dan memulakan perniagaan mereka sendiri, berkhidmat kepada masyarakat mereka, menangani cabaran global seperti pendidikan dan perubahan iklim dan MaGIC boleh mengubah idea-idea menjadi realiti.

Penubuhan MaGIC diumumkan Najib pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) tahun lepas di Kuala Lumpur.

GES diilhamkan oleh Obama sendiri tetapi Presiden itu tidak dapat menghadiri sidang kemuncak berkenaan pada Oktober lepas kerana beliau perlu menangani isu penutupan sebahagian operasi kerajaan persekutuan AS.
 
"Saya bangga menjadi tuan rumah GES pertama di Washington. GES keempat diadakan di Kuala Lumpur tahun lepas dan kesan yang diterima adalah luar biasa. Pusat ini merupakan hasil secara langsung sidang kemuncak itu yang dihoskan Perdana Menteri Najib," kata Obama.

Beliau berkata kerjasama dan perkongsian idea antara AS dan Malaysia terutamanya dalam kalangan golongan anak muda akan diteruskan kuasa internet.
 
"Saya berharap untuk melihat banyak lagi perkara hebat oada masa depan," kata beliau.

Sementara itu, Najib mengumumkan perkarangan di hadapan bangunan MaGIC akan dikenali sebagai "Obama Oval".

MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka.

Dengan peruntukkan RM50 juta, pusat itu akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menawarkan kemudahan untuk latihan dan mentor.

Tambahan RM20 juta juga disalurkan untuk menyokong pembangunan perusahaan sosial.

Sebagai inkubator untuk usahawan muda, MaGIC juga bekerjasama dengan organisasi dan universiti Amerika Syarikat seperti Stanford University dan UP Global untuk memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.

Najib Razak, Barack Obama, Magic

Artikel Lain