suria

PAS Sedia Muzakarah Isu Hudud - Hadi

KOTA BAHARU: PAS akan dan bersedia mengadakan muzakarah dengan semua pihak bagi memberi penerangan mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata muzakarah tersebut penting supaya setiap orang dapat memahami dengan tepat bagaimana undang-undang Islam itu akan diaplikasikan di negeri itu.

"Kita sedia memberi penjelasan kepada semua pihak," katanya apabila diminta mengulas kenyataan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam bahawa muzakarah antara PAS dan Umno perlu diadakan berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud supaya pemahaman dan persetujuan bersama dapat dicapai.

Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk "Wisma Ilmuan Kelantan" di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ditanya bila tarikh muzakarah itu akan diadakan, Abdul Hadi berkata: "Itu jangan tanya pihak kami sahaja, kena tanya pihak lain juga. Tidak jadi kalau bertepuk sebelah tangan".

Mengenai laporan bahawa sekutu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak pelaksanaan hukum hudud, Abdul Hadi berkata: "Ia adalah hak PAS dan perlu dihormati kerana agenda ini (hudud) telah diadakan sebelum wujudnya PKR lagi."

Sebelum ini, PKR dilaporkan bertegas menolak pelaksanaan hukum hudud seperti mana perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pembangkang pada tahun 2011.

PAS Kelantan melalui anggota Parlimennya akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini.

Sebelum ini, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, dilaporkan berkata pihaknya sudahpun menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan.

Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah swt, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu.
PAS, Hudud, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain