suria

Lawatan Obama Sokong Hubungan Kukuh Ekonomi

PUTRAJAYA: Lawatan bersejarah Presiden AS Barack Obama menyokong hubungan kukuh ekonomi yang membentuk asas kepada hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata Amerika Syarikat kekal sebagai satu daripada rakan dagangan terbesar Malaysia dan sumber utama pelaburan langsung asing di negara ini.

"Terdapat potensi besar untuk melonjakkan hubungan ekonomi bagi meningkatkan hubungan dalam bahagian pertumbuhan baharu, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi," katanya pada taklimat media di sini, Jumaat, menjelang lawatan tiga hari Obama ke Kuala Lumpur bermula Sabtu.

Anifah berkata kedua-dua negara sedang mengkaji cara-cara untuk menggalakkan peluang bagi perdagangan dan pekerjaan di peringkat dua hala serta pelbagai hala.

Bagi peluang ekonomi, Anifah berkata tema utama lain lawatan itu ialah pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan, sektor yang diceburi oleh semakin ramai golongan muda di negara ini.

"Ini adalah susulan kepada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Ke-4 yang dihoskan Malaysia pada Oktober 2013.

"Lawatan itu akan menyaksikan pelancaran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sidang kemuncak tersebut," katanya.

Kedua-dua Najib dan Obama akan bersama-sama melancarkan MaGIC di Cyberjaya pada Ahad.

Anifah berkata kehadiran kedua-dua pemimpin itu pada pelancaran tersebut akan mengukuhkan lagi matlamat bersama Malaysia dan Amerika Syarikat untuk menggalakkan pertumbuhan keusahawanan dan peluang merangsang pembangunan ekonomi yang lebih kukuh.
Barack Obama, Anifah Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain