suria

Penagih Dadah Terjun Sungai Ditemui Mati Lemas

KUCHING: Tindakan seorang lelaki dipercayai penagih dadah melarikan diri daripada serbuan polis dengan terjun ke Sungai Kampung Tabuan Foochow berakhir dengan tragedi apabila ditemui mati lemas.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad berkata kejadian berlaku ketika anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) melakukan Ops Tapis mensasarkan lokasi penagih dadah berkumpul di kawasan Kampung Tabuan Haji Drahman.

"Sepasukan tujuh anggota BSJN Kuching melakukan Ops Tapis di kawasan tersebut, Isnin dan sebaik sampai, didapati tiga lelaki telah melarikan diri ke arah sungai kampung tersebut.

"Suspek kemudian dikesan terjun ke sungai, bagaimanapun arahan anggota supaya mereka naik ke darat tidak diendahkan dan terus berenang untuk melarikan diri daripada pasukan," katanya.

Mengulas lanjut, Roslan berkata hasil serbuan itu pasukan BSJN berjaya menahan seorang lelaki dan keputusan ujian mendapati mereka positif dadah methamphetamine dan lelaki berkenaan dibawa ke pejabat BSJN Kuching untuk siasatan lanjut.

"Ketika berada di pejabat, pasukan BSJN menerima panggilan daripada bilik gerakan memaklumkan seorang lelaki ditemui lemas di tempat serbuan Ops Tapis itu," katanya.

Roslan berkata polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai kes SDR (mati lemas) dan mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.


penagih dadah, sungai, polis

Artikel Sebelum

Artikel Lain