suria

Obama Tiba Di Malaysia Sabtu Ini

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

KUALA LUMPUR: Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang dinanti-nantikan semakin hampir apabila Presiden Barack Obama bersedia untuk berlepas dari Washington pada Selasa.

Lawatan bersejarah beliau yang dirancang sebelum ini ditangguhkan pada Oktober lepas berikutan krisis bajet yang menyebabkan penutupan separuh Kerajaan AS.

Tanpa sebarang halangan kali ini, karpet merah menantikan ketibaan Presiden AS ke-44 itu yang akan melangkah keluar dari pesawat Air Force One di pangkalan TUDM di Subang pada petang Sabtu.

Obama, bagaimanapun tidak akan diiringi oleh Wanita Pertama, Michelle, akan berada di Tokyo dan Seoul sebelum menghabiskan dua malam di Malaysia.

Satu majlis sambutan rasmi dijadualkan di Dataran Parlimen diikuti upacara menghadap Yang di- Pertuan Agong dan jamuan negara di Istana Negara.

Pada Ahad, tiada rehat buat Obama kerana pelbagai acara diaturkan bermula dengan lawatan di Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak dan lawatan kebudayaan ke Masjid Negara.

Kemudiannya, bakal diadakan rundingan rasmi bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh kedua-dua pemimpin, dan pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya yang bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik.

Acara kemuncak akan diadakan di Universiti Malaya bersama pemimpin-pemimpin muda terpilih dari 10 negara Asean.

Menurut pegawai rasmi, Presiden turut dijadualkan bertemu dengan pemimpin hak awam Malaysia.

Pada pagi Isnin, Obama akan menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian korporat sebelum berlepas ke Manila.

Duta Khas ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis berkata, lawatan pemimpin AS itu akan mengaktifkan semula hubungan dua hala yang semakin erat.

"Kami telah lama menunggu Presiden Amerika Syarikat dan Malaysia bersedia untuk menunjukkan kepada beliau apa yang kita ada," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain