suria

Saringan Awal Sampel Air Kencing Pemandu Lori Positif Ganja

Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
IPOH: Saringan awal sampel air kencing pemandu lori Abu Mansor Mohd, 45, yang terlibat dengan kemalangan yang menyebabkan pemimpin DAP, Karpal Singh terbunuh disahkan positif ganja. 

Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner Kanan, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata  walaupun saringan awal mendapati sampel berkenaan mengandungi ganja namun keputusan itu tidak boleh digunakan sebagai bukti. 

"Sampel kedua telah pun dihantar ke makmal untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat. Pada kebiasannya apabila kami menjalankan ujian air kencing, kami akan mengambil dua sampel daripada seorang individu," katanya kepada The Star. 

"Sekiranya saringan pertama adalah positif, sampel kedua akan dihantar kepada makmal untuk mendapatkan pengesahan. 

"Sampel kedua telah diambil di Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk tujuan pengesahan," katanya. 

"Polis telah pun merekodkan kenyataan daripada pemandu lori berkenaan dan dia telah dibebaskan dengan jaminan polis," tambah beliau.  

Ketika ditanya butiran lanjut mengenai kemalangan tersebut, Acryl berkata siasatan masih dijalankan. 

"Kami perlu mendapatkan kenyataan daripada semua yang terlibat untuk menyemak bukti sebelum membuat sebarang kesimpulan apa yang sebenarnya terjadi," katanya. 

Sumber turut mendedahkan kenderaan yang dinaiki Karpal mempunyai 15 saman tertunggak atas kesalahan memandu melebihi had laju. 

Sumber itu memberitahu, Toyota Alphard mempunyai 29 saman trafik, yang mana 15 daripada masih belum diselesaikan. 

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu Bernama melaporkan, Abu Mansor berkata dia terdengar bunyi dentuman kuat dibelakang lori dan mendengar suara orang menjerit ketika kejadian malang itu berlaku. 

Kemalangan tersebut mengakibatkan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius maut di tempat kejadian. 

Ekoran itu, Abu Mansor berkata beliau memberhentikan kenderaannya dan melihat kenderaan serba guna (MPV) yang dinaiki lima penumpang melanggar bahagian belakang kanan lori berkenaan. 
 
"Keluar dari lori, saya terkejut setelah melihat MPV itu rosak teruk dan terdapat mangsa yang cedera," katanya ketika pemberita. 
Abu Mansor berkata pada mulanya beliau tidak mengetahui seorang daripada lima mangsa yang berada di dalam kenderaan itu adalah bekas Pengerusi DAP. 
 
"Orang ramai yang berhenti di tepi jalan untuk melihat kejadian itu memberitahu saya Karpal Singh berada di dalam kenderaan itu," katanya. 
 
Menurut Abu Mansor, beliau memandu perlahan di bahagian kiri jalan ekoran keadaan jalan yang berbukit. 

Beliau yang berasal dari Petaling Jaya berkata, beliau sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghantar barang antaranya simen dan mozek turut bersama isterinya Nur Azlina Ahmad, 23, serta seorang kanak-kanak Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah, 4. 

Kemalangan itu turut mengakibatkan pembantu rumah Karpal, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak.

Sementara anak lelaki bekas pemimpin DAP itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV C. Selvam, 27, yang merupakan warga India tidak mengalami kecederaan. 

Abu Mansor pula hanya cedera ringan manakala dua penumpang lain tidak cedera.

Artikel Lain