suria

PKR Lapor SPRM Kekayaan Daim

PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang didakwa mempunyai kekayaan luar biasa.

Ia berikutan tuduhan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang baru-baru ini.

Anwar mendakwa Daim terlibat dalam urus niaga bernilai berbilion ringgit dalam bank-bank Afrika dan Eropah timur melalui proksi.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah memfailkan laporan tersebut di pejabat SPRM di sini pada Isnin.

Beliau juga menyerahkan satu salinan laporan polis yang dibuat oleh Anwar pada 30 Julai 1999 atas tuduhan yang sama kepada SPRM.

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil berkata, menerusi pertemuannya selama sejam dengan pegawai SPRM, beliau juga mengutarakan bukti mengenai dakwaan tiga pemimpin korporat yang bertindak sebagai proksi Daim untuk menguruskan kekayaannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain