suria

Kurator Muzium PDRM Didakwa Palsu Dokumen

KUALA LUMPUR: Seorang kurator Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin terhadap pertuduhan memalsu dokumen berhubung pembayaran perbelanjaan majlis PDRM, tiga tahun lalu.

Supt Syed Zainal Syed Zin, 59, didakwa memalsukan dokumen surat PDRM bertajuk 'Tuntutan Bayaran Bagi Majlis Penganugerahan Balai League Table Siri 1 /2011' dan "Pameran PDRM sempena GPEC 2011."

Dia didakwa berbuat demikian untuk melakukan penipuan bahawa Syarikat Secure Channel Sdn Bhd iaitu syarikat yang mengendalikan itu perlu membayar RM18,278.20 bagi bil-bil perbelanjaan yang belum diselesaikan untuk dua majlis berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Muzium PDRM, di sini pada 23 Dis 2011 mengikut Seskyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Faris Khairuddin yang mewakili tertuduh merayu jumlah wang jaminan dikurangkan kepada RM4,000 memandangkan anak guamnya memerlukan bekalan ubatan setiap hari bagi penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapinya.

Katanya anak guamnya juga merupakan pengurus kepada pasukan boling padang yang akan ke Sukan Komanwel 2014.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 14 Mei untuk sebutan semula kes.


PDRM, Musium PDRM, Kurator

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain