Hari Ke-29 Pencarian MH370 Babitkan 10 Pesawat, Tiga Jet Dan 11 Kapal - Semasa | mStar

Hari Ke-29 Pencarian MH370 Babitkan 10 Pesawat, Tiga Jet Dan 11 Kapal

KUALA LUMPUR: Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 memasuki hari ke-29 membabitkan 10 pesawat tentera, tiga jet awam dan 11 kapal dikerah menjejaki pesawat yang hilang itu.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataan di sini hari ini berkata operasi itu turut membabitkan kapal pertahanan Australia ADV Ocean Shield dan kapal hidrografi Tentera Laut Diraja British HMS Echo yang meneruskan pencarian di bawah permukaan air.

"Operasi pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 217,000 kilometer persegi, yang terletak kira-kira 1,700km di barat laut Perth, Australia," katanya.

Menurut kenyataan itu, pencarian pada Sabtu memberi tumpuan kepada tiga kawasan dalam sekitar yang sama dan keadaan cuaca  cerah dan hujan diramal berlaku di kawasan pencarian.

Menurutnya, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus memberi tumpuan di kawasan tempat pesawat itu berakhir mengikut analisis teknikal membabitkan pelbagai aspek yang pertama kali dilakukan berdasarkan komunikasi satelit dan prestasi pesawat, yang disalurkan pasukan penyiasat nahas udara antarabangsa terdiri daripada penganalisis dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.

JACC dilancarkan pada 1 April lepas di Perth, Australia bagi menyelaraskan pencarian pesawat MAS MH370 di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. 

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Pasukan pelbagai negara pada mulanya mencari pesawat itu di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya, selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan, di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Susulan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth. 

Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
MH370 , hari ke-29

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain