suria

Operasi Besar-Besaran Buru Pekerja Asing Tanpa Dokumen Di Esszone

Datuk Mohammad Mentek
LAHAD DATU: Operasi besar-besaran untuk memburu pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah di pulau peranginan di Zon Keselamatan Khas Timur Sabah (Esszone) akan dilancarkan untuk mengesan individu yang berpotensi menjadi tali barut kepada penjenayah rentas sempadan.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata operasi itu akan dilancarkan di pulau peranginan yang sudah dikenal pasti dalam masa terdekat susulan kes penculikan di sebuah resort di Pulau Singamata, Semporna, Rabu lepas.

"Berdasarkan maklum balas bahagian risikan Esscom dan modus operasi yang digunakan penculik, jelas sekali penjenayah itu kelihatan serba mengetahui selok-belok kawasan termasuk penghuni resort berkenaan.

"Kita syaki ada orang dalam, khususnya orang tempatan yang berasal dari Filipina yang memberi maklumat awal kepada penculik itu...perkara ini sepatutnya tidak berlaku," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu. 

Dalam kes penculikan terbaru itu, seorang wanita warga China dan seorang pekerja resort rakyat Filipina diculik dari Singamata Adventures Reef and Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata.

Wanita warga China itu yang juga seorang pelajar dikenal pasti sebagai Gao Hua Yua, 29, dari Shanghai manakala pekerja resort pula dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi, 40.

Resort di atas air dengan 60 bilik yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lepas itu berkedudukan kira-kira dua batu nautika dari pekan Semporna.

Mohammad turut mengulangi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap majikan atau pengusaha resort yang beroperasi di kawasan Esszone yang mengambil khidmat pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah. 

Beliau berkata pihaknya mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan pengusaha resort Sabah berhubung perkara itu, termasuk cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan menggaji pengawal keselamatan.

"Semua pihak termasuk pengusaha resort harus bertanggungjawab untuk memastikan keadaan keselamatan di Esszone sentiasa terkawal dan terjamin," katanya.
Esscomm, Esszone, operasi

Artikel Lain