suria

Lee Chee Leong, Hamzah Kassim Dipilih Anggota Dewan Negara

Lee (kiri) dan Hamzah (kanan) dipilih sebagai anggota Dewan Negara pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat.

IPOH: Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim dipilih sebagai anggota Dewan Negara pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat.

Lee, 57, yang juga Naib Presiden MCA dan bekas Timbalan Menteri Luar itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan dari Bristol Polytechnic England.

Hamzah, 58, yang merupakan Ketua Umno Bahagian Gopeng sejak 2008 hingga kini juga adalah Pengarah Urusan syarikat Tunas Puncak dan pengusaha limosin di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Pencalonan kedua-dua mereka dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan disokong Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan).

Sementara itu, wakil pembangkang Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) mencadangkan bekas Adun Lubuk Merbau Mohd Zainudin Mohd Yusof dan disokong Radzi Zainon (PAS-Sungai Rapat) manakala Radzi juga bertindak mencalonkan seorang peguam, Ngah Hock Cheh dan disokong Chang Lih Kang (PKR-Teja).

Kesemua 59 wakil rakyat kemudian menjalankan pengundian belah bahagian dan Lee mendapat undian tertinggi 31, Hamzah meraih 30 undi, Ngah dan Mohd Zainudin masing-masing mendapat 28 undi.

Persidangan pada Jumaat juga turut meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah selepas dibahas oleh 48 wakil rakyat selama tiga hari.

Tiga usul iaitu pelantikan anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Perak yang dipengerusikan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering), Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap serta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diketuai Speaker Datuk Seri S.K Devamany turut diluluskan tanpa dibahas.

Persidangan DUN yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lepas ditangguhkan ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Artikel Lain