suria

Tiada Data Diterima Rolls Royce Atau Boeing Selepas 1.07 Pagi - MAS

Ahmad Jauhari Yahya
SEPANG: Rolls Royce dan Boeing menafikan menerima sebarang data dihantar oleh pesawat penerbangan MH370 selepas pesawat itu hilang, kata Malaysia Airlines (MAS).

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya pada Khamis menegaskan transmisi terakhir diterima daripada pesawat itu adalah pada 1:07 pagi Sabtu
lepas, dan tiada lagi selepas itu.

Beliau berkata syarikat penerbangan kebangsaan telah bertanya secara khusus kepada Rolls Royce dan Boeing mengenai laporan menyatakan pesawat hilang itu masih terbang beberapa jam selepas ia hilang, dan mengesahkan ia tidak betul.

"Kami telah hubungi kedua-dua sumber mengenai data itu, Rolls Royce dan Boeing. Kedua-dua syarikat menyatakan mereka tidak menerima data itu," katanya dalam taklimat media pada Khamis. 

Arahan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan turut menyatakan pesawat itu telah diservis sepenuhnya dan layak terbang mengikut rekod kejuruteraan dan penyelenggaraan.

Semua pemeriksaan penyelenggaraan dilakukan secara teratur, dengan rutin terakhir penyelenggaraan dilakukan pada 23 Februari tahun ini dan servis akan datang dijadual pada 19 Jun.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam  Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata hubungan terakhir pesawat itu dengan radar Malaysia ialah semasa pemindahan kawalan trafik udara daripada Malaysia kepada Vietnam. 

"Kami hilang pesawat itu daripada radar pada ketika kami memindahkan kawalan trafik udara daripada Malaysia kepada Vietnam, secara spesifiknya di kawasan bernama Igari," katanya. 

Pesawat dalam penerbangan ke Beijing itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari

Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi 8 Mac.

Artikel Sebelum

Artikel Lain