suria

Kehilangan MH370: Kenyataan Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein (tengah) ketika sidang media mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, Khamis. Foto: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Berikut ialah kenyataan oleh Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang berita mengenai misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di Sepang, Selangor pada Khamis.

"Kini sudah enam hari MH370 hilang. Pada masa ini, terdapat 43 kapal dan 40 pesawat yang sedang mencari di Laut Cina Selatan (26 kapal dan 25 pesawat) dan
Selat Melaka (17 kapal dan 15 pesawat). 

"Kami amat bersyukur dengan bantuan yang diterima dari seluruh dunia. Hari berganti hari, tugas ini menjadi lebih sukar. Seperti biasa, ingatan dan doa kami adalah untuk keluarga mereka yang berada dalam penerbangan itu. Kami akan melakukan segala-galanya dalam usaha kami mencari MH370.

"Sebelum saya menerima sebarang soalan, saya mahu menjelaskan beberapa isu.

Data Enjin 

"Saya ingin merujuk kepada laporan-laporan berita yang menyarankan bahawa pesawat itu mungkin terus terbang untuk satu tempoh selepas perhubungan terakhir. Dengan Malaysia Airlines akan membuat pengesahan sebentar lagi, laporan-laporan itu adalah tidak tepat. 

"Tranmisi terakhir daripada pesawat itu ialah pada 0107 yang menunjukkan bahawa semuanya adalah normal. Pasukan Rolls Royce dan pasukan Boeing kini berada di Kuala Lumpur dan telah berusaha dengan MAS dan pasukan penyiasatan sejak Ahad. 

Isu ini tidak pernah dibangkitkan.

"Apabila ada butiran terbaharu, ia perlu disahkan. Berikutan laporan media hari ini, MAS telah bertanya kepada Rolls Royce dan Boeing secara khusus mengenai data ini. Bagi Rolls Royce dan Boeing, laporan-laporan itu adalah tidak tepat.

Imejan satelit China

"Sebuah pesawat peninjau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah dihantar pagi ini untuk menyiasat serpihan berpotensi yang ditunjukkan dalam imejan satelit China. Kami menggembleng aset-aset kami tetapi tidak menemui apa-apa. Kami telah menghubungi Kedutaan China yang melaporkan kepada kami tengah hari
tadi bahawa imejan itu telah silap dikeluarkan, dan tidak menunjukkan sebarang serpihan daripada MH370.

Arahan FAA

"Pesawat itu telah diservis sepenuhnya dan layak terbang mengikut rekod kejuruteraan dan penyenggaraan. Semua pemeriksaan penyenggaraan adalah teratur.

Servis penyenggaraan rutin terakhir telah dilakukan pada 23 Februari 2014; servis berikutnya adalah pada 19 Jun.

Isyarat Radar 

"Ia menyarankan bahawa terdapat kemungkinan sebuah pesawat telah melalui Selat Melaka. Kami bertanggungjawab untuk menyiasat sebarang kemungkinan. Kami melakukan demi keluarga mereka yang berada dalam penerbangan itu untuk menyusuli setiap petunjuk. Berdasarkan itu, kami menghantar lebih banyak kapal dan pesawat untuk mencari di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, usaha utama kami adalah di

Laut Cina Selatan.

"Kami menjalinkan kerjasama rapat dengan FAA dan NTSB. Mengenai isu kemungkinan pesawat berpatah balik, mereka telah menyatakan kepada kami bahawa berdasarkan kepada maklumat dan data yang diberikan pihak berkuasa Malaysia, pasukan AS berpendapat bahawa ada asas munasabah bagi pihak berkuasa Malaysia untuk menggemblengkan sumber-sumber bagi mengendalikan usaha mencari di bahagian barat

Semenanjung Malaysia. 

"Berdasarkan keadaan itu, adalah wajar untuk mengendalikan usaha mencari jika bukti menyarankan adanya kemungkinan untuk menemui pesawat yang hilang itu.

Data kasar 

" Saya pasti anda semua boleh faham, kami biasanya tidak akan mengeluarkan data kasar daripada radar ketenteraan kami. Tetapi dalam kes ini, kami telah meletakkan usaha mencari ini mengatasi keselamatan negara kami. Kami telah berkongsi data kami dengan rakan-rakan antarabangsa kami termasuk AS dan China, bagi membantu usaha mencari ini.

"Siasatan polis terhadap juruterbang "Laporan yang menyarankan bahawa polis Malaysia telah menggeledah rumah anak-anak kapal MH370 adalah tidak benar, dan Polis DiRaja Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung dengannya.

Respons Malaysia

"Saya mahu menyentuh mengenai soalan berhubung respons Malaysia. Pertamanya, situasi ini tidak pernah berlaku. MH370 langsung terputus hubungan ketika berada di lautan luas. Kami sedang melakukan pencarian multinasional yang melibatkan banyak negara dan lebih lapan puluh kapal dan pesawat.

"Ini adalah situasi krisis. Ia adalah operasi yang sangat rumit, dan selalunya ia bukan mudah. Kami menumpukan semua tenaga kami untuk melaksanakan tugas ini. Dan saya ingin menegaskan: tumpuan kami ialah untuk mencari pesawat itu. Kami tidak akan melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan usaha mencari ini.

"Ada masanya kami tidak dapat mendedahkan maklumat - sebagai contoh, sesetengah isyarat radar - kerana ia memerlukan analisis dan pengesahan oleh agensi-agensi lain sebelum dikeluarkan. Untuk mengeluarkan maklumat sedemikian sebelum ia siap, boleh menjejaskan penyiasatan atau usaha pencarian - dan menambahkan lagi kesengsaraan saudara mara.

"Malaysia tiada apa untuk disembunyikan. Kami telah melakukan segala-galanya. Dari hari pertama, kami kerap berhubung dengan negara-negara jiran, dan menerima semua tawaran bantuan antarabangsa. Kami telah mematuhi protokol yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa sejak berlakunya insiden ini. 

"Sudah banyak yang dilakukan mengenai perluasan kawasan pencarian. Sesetengahnya mendakwa Malaysia telah memperlahankan usaha mencari. Itu tidak benar. Malah, kami telah mempergiatkan usaha mencari. Sekali lagi, saya mahu menegaskan: tiada langkah tertentu yang ditetapkan dalam situasi seperti ini.

Pesawat telah hilang. Kami memperluaskan kawasan pencarian kerana adalah menjadi tugas kami untuk memeriksa setiap petunjuk. Kami bertanggungjawab melakukannya untuk keluarga terbabit. Dan kami tidak akan berputus asa.


MH370, Hishammuddin, FAA, NTSB

Artikel Lain