suria

MH370: China Akan Teruskan Pencarian Selagi Ada Harapan

Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika sidang media, Khamis.
BEIJING: China akan terus berusaha mencari pesawat MH370 yang hilang 'selagi ada harapan walaupun sedikit', kata Perdana Menteri Li Keqiang, Khamis.

239 penumpang berada di atas kapal termasuk 153 rakyat China, dan Li pada sidang media setahun sekali yang diadakan berkata: "Keluarga dan rakan-rakan sedang berada dalam keadaan sangat bimbang."

"Kerajaan dan rakyat di China semua mengambil berat tentang keselamatan mereka," katanya.

"Kita semua ingin sekali mendapatkan berita tentang kapal terbang, walaupun dengan sedikit sahaja berita baik."

China mempunyai lapan kapal yang mengambil bahagian dalam usaha mencari, dengan kapal yang kesembilan dalam perjalanan serta telah mengerahkan 10 satelitnya untuk membuat pengesan, katanya.

Beliau berkata demikian selepas satelit China dikatakan telah merakamkan gambar objek terapung di laut pada Ahad yang mungkin merupakan pesawat yang hilang, 200 kilometer dari kawasan terakhir penerbangan yang dikesan.

"Kita tidak akan berputus asa terhadap sebarang petunjuk yang disyaki mempunyai kaitan dengannya, " kata Li pada akhir sesi tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan.

"Kerajaan China telah meminta pihak yang berkaitan untuk meningkatkan penyelarasan, menyiasat punca dan mencari pesawat yang hilang secepat mungkin dan mengendalikan semua perkara yang berkaitan dengan betul," katanya.
china, beijing, mh370, mas, Li Keqiang

Artikel Berikut

Artikel Lain