suria

Masalah Visa Pelajar Mauritius Di Malaysia Akan Diselesaikan - Mustapa

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Mauritius, Navinchandra Ramgoolam (kanan) di Port Louis, Selasa.
 -fotoBERNAMA
PORT LOUIS (Mauritius): Mauritius telah diberi jaminan bahawa masalah visa yang dihadapi pelajar-pelajar dari negara itu ke Malaysia akan diselesaikan. 

Jaminan itu diberikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada Perdana Menteri Mauritius Navinchandra Ramgoolam dalam satu pertemuan di pejabat Perdana Menteri itu di sini pada Isnin.

Mustapa yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada lawatan tiga hari mulai Isnin, berkata Malaysia memberi perhatian serius kepada masalah mendapatkan visa oleh pelajar-pelajar tulen dari luar negara, selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan.

Najib menangguhkan lawatannya ke Mauritius berikutan peristiwa kehilangan pesawat B777-200ER milik Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, dalam penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Sabtu lalu. 

Mustapa yang bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, berkata beliau amat memahami isu dan masalah yang dihadapi Jabatan Imigresen Malaysia kerana adanya kes pelajar bukan tulen yang memohon visa pelajar di Malaysia namun bagi pelajar tulen masalah ini perlu diselesaikan.

"Perdana Menteri (Mauritius) memberitahu saya pelajar-pelajar Mauritius sukar untuk mendapatkan visa pelajar. Ini sudah tentu satu perkara yang perlu diselesaikan kerana Malaysia mahu menjadi hab pendidikan dan mahu menggalakkan pelajar luar negara datang belajar ke Malaysia.

"Kita yakin pelajar-pelajar Mauritius merupakan pelajar tulen dan saya memberi jaminan kita akan membantu menyelesaikan masalah ini kerana dasar kita ialah untuk menggalakkan pelajar-pelajar datang belajar di Malaysia," katanya.

Isu kesukaran para pelajar Mauritius mendapatkan visa untuk belajar di Malaysia turut dibangkitkan Presiden Mauritius Rajkeswur Purryag ketika Mustapa mengunjungi presiden itu di sini kemudian.

Mengikut rekod Jabatan Imigresen Malaysia, ada sejumlah 710 pelajar dari Mauritius sedang menuntut di beberapa buah universiti di Malaysia.
visa, mauritius

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain