suria

Syabas Tambah Baik Tempoh Pemulihan Bekalan Air Di Kawasan Catuan

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan membuat penambahbaikan tempoh pemulihan bekalan air di kawasan catuan yang lewat menerima bekalan air.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata pemantauan akan dilakukan mengikut zon ditetapkan.

Katanya kelewatan menerima bekalan air adalah kerana sesetengah kawasan catuan berada di kawasan berkedudukan tinggi dan di penghujung sistem bekalan air, selain terlibat dengan sistem pengepaman dalaman atau pengepaman berperingkat.

"Syabas akan melakukan penambahbaikan khususnya dari segi tempoh pemulihan bekalan air di semua kawasan terlibat seperti yang telah dijadualkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Beliau juga memaklumkan catuan peringkat pertama yang telah memasuki hari ke-13 dan peringkat ketiga yang bermula semalam berjalan lancar.

Selain itu, Alfred berkata Syabas tidak menyediakan bekalan air menerusi lori tangki di kawasan catuan, bagaimanapun pertimbangan diberi bagi upacara kematian, kenduri, hospital, pusat dialisis dan rumah kebajikan.

Katanya, ini kerana pelan catuan merupakan program bekalan air berjadual dan pengguna seharusnya menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan pada hari tiada bekalan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti merosakkan fasiliti dan infrastruktur bekalan air yang diuruskan Syabas.

"Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 dan boleh dikenakan penalti yang tinggi," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lengkap berhubung pelan catuan air boleh melayari www.syabas.com.my.
syabas, air, catuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain