suria

Jerebu Berpunca Kebakaran Dalam Negara - Palanivel

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu sederhana dialami negara pada masa ini berpunca daripada kebakaran tanah gambut dan hutan di beberapa buah negeri, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel.

Beliau berkata selain kebakaran tanah gambut dan hutan di Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Terengganu, terdapat punca dalaman lain turut menyumbang kepada keadaan itu antaranya pelepasan asap industri, kenderaan bermotor dan aktiviti kerja tanah.

"Dalam keadaan cuaca panas dan kering yang berlarutan, habuk terampai kekal berkumpul di ruang udara lalu menyebabkan jerebu," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Palanivel berkata, kerajaan membuat pengawasan rapi melalui 52 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara untuk mengesan perubahan status kualiti udara dan juga sebagai pengesanan awal kejadian jerebu.

Katanya sejak awal tahun ini hingga semalam (10 Mac), Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengesan sebanyak 1,392 kes pembakaran terbuka termasuk yang melibatkan kawasan hutan, pertanian dan industri.

Jumlah itu meliputi 284 kes pembakaran terbuka di kawasan hutan, 482 kes (kawasan pertanian), 18 kes (kawasan industri), 45 kes (kawasan pembinaan), 24 kes (tapak pelupusan sampah), 285 kes (kawasan belukar) dan 254 kes (lain-lain pembakaran terbuka kecil).

Dalam tempoh sama, sebanyak 119 kes pembakaran terbuka juga telah dikenakan tindakan kompaun dan 31 kes dikeluarkan notis amaran.

Dua kawasan di Selangor iaitu Banting dan Pelabuhan Klang masih kekal dengan catatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 5 petang ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan berkenaan mencatat IPU melebihi 100 dengan bacaan tertinggi di Banting (124) dan Pelabuhan Klang (104).

Sebanyak 33 kawasan mencatat bacaan sederhana antaranya Tanah Merah (53), Seremban (69), Perai (66) dan Petaling Jaya (73), manakala 16 kawasan mencatat IPU baik seperti Larkin Lama (40), Jerantut (31) dan Tawau (47).

IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Orang ramai boleh merujuk ke portal JAS iaitu http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing.
jerebu, g.palanivel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain