suria

Ada Perkembangan Positif Kes Bunuh Timbalan KP Kastam - KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata terdapat perkembangan positif dalam siasatan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya, 26 April lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis belum dapat menghebahkan apa bentuknya perkembangan positif itu pada masa ini kerana masanya belum sesuai.

"Kita tidak pernah lupakan kes ini, malah telah memaklumkan setiap perkembangan kepada keluarga mangsa," kata beliau kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lions Clubs International 2013 di sini, Jumaat.

Shaharuddin, mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya April lalu.

Dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi.

Dalam pada itu, Khalid berkata beliau akan merundingkan cadangan menubuhkan sebuah pasukan polis khas bagi membanteras penyebaran ajaran sesat dan fahaman Syiah di negara ini, dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secepat mungkin.

"Dalam memastikan keselamatan awam dan negara, polis akan ambil apa jua langkah yang perlu termasuk menguatkuasakan perkara dan fatwa ke atas Syiah ini," katanya.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang memberitahu kementeriannya sedang memperincikan cadangan berkenaan.

Menurut Zahid, cadangan itu antara lain akan membolehkan polis menempatkan pegawai dan anggotanya di Jakim sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5,607 Mangsa Banjir di Pahang

Artikel Lain