suria

Siri Manual Kenegaraan PLKN Bakal Diguna Tahun Depan

TANJUNG MALIM: Enam buah buku Siri Manual Kenegaraan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal diguna oleh 43,000 pelatih Kumpulan 1 Siri 11/2014 di 79 buah kem di seluruh negara tahun depan.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abd Rahim Bakri berkata siri tersebut yang diolah semula merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memantapkan pengajaran dan penyampaian Modul Kenegaraan kepada pelatih.

"Siri Manual Kenegaraan PLKN ini mengandungi enam judul iaitu Manual Konsep Membina Hubungan, Manual Konsep Negara Elemen Tanah, Manual Konsep Negara Elemen Rakyat, Manual Konsep Negara Elemen Kerajaan, Manual Konsep Negara Elemen Daulat dan Manual Konsep Cabaran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri tersebut di UPSI di sini, Khamis.

Beliau berkata siri itu diterbitkan dengan mengambil iktibar daripada kejadian serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah yang memerlukan kesedaran rakyat terhadap menjaga kedaulatan negara ditingkatkan.

"Dalam kehidupan aman damai, kita juga harus sedar bahawa terdapat juga ancaman yang kita sedar atau tidak. Seluruh rakyat Malaysia harus bersiap siaga untuk untuk menghadapi pelbagai ancaman di dalam dunia tanpa sempadan ini," jelas Abd Rahim.

Katanya dalam dunia globalisasi, banyak perkara yang tidak pernah dilihat pada ketika dahulu tetapi ia berlaku pada masa kini termasuk isu pengganasan serta ancaman daripada pihak asing yang cuba menganggu gugat kedaulatan negara.

Mengenai kemasukan pelatih PLKN tahun depan, Abd Rahim berkata seramai 43,000 pelatih bagi Kumpulan 1 Siri 11/2014 akan dipanggil melapor diri mulai 4 Jan hingga 14 Mac depan.

"Notis Pemberitahuan Pelatih (NPP) bagi bakal pelatih yang terpilih telah dihantar melalui pos bermula 20 Nov yang lalu. Semua maklumat penting termasuk Pusat Berkumpul serta borang berkaitan telah disertakan bersama NPP," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata semakan pemilihan dan penempatan melalui Laman Web Khidmat Negara boleh dilakukan di www.khidmatnegara.gov.my pada ruangan sistem online selain NPP serta borang berkaitan boleh dimuat turun melalui laman web itu.

Katanya bakal pelatih juga boleh membuat semakan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip PLKN (JARAK) KEM (JARAK) NO. KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Kasa dalam ucapannya berkata bagi penerbitan siri manual itu kali ini ia melibatkan seramai 12 pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, 12 jurulatih modul kenegaraan dan Pejabat Karang Mengarang UPSI.

Selain daripada enam buku manual itu, UPSI turut diberi kepercayaan untuk menerbitkan Buku Kerja Modul Kenegaraan yang bakal digunakan oleh seluruh PLKN.

Beliau berharap siri manual itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelatih dan juga jurulatih khususnya dalam melahirkan generasi masa depan yang dinamik, pragmatik dan mempunyai jati diri yang unggul.

PLKN mempunyai empat modul latihan iaitu Modul Kenegaraan, Fizikal, Pembinaan Karakter dan Khidmat Komuniti. - BERNAMA

Artikel Lain