suria

Mykad Palsu: JPN Sedia Bekerjasama Dengan Polis

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedia bekerjasama dengan polis berhubung kes pembabitan pegawai JPN dengan kegiatan pemalsuan kad pengenalan di Miri, Sarawak.

Ketua Pengarah JPN Datuk Jariah Mohd Said berkata JPN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati menyalahi undang-undang dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri.

"Tindakan susulan berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada akan diambil oleh pihak JPN," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPN Jainisah Mohd Noor berkata segala jenis aktiviti pemalsuan MyKad adalah satu kesalahan jenayah dan individu yang terbabit boleh diberkas dan dikenakan hukuman penjara atau denda.

"Mengikut Akta 78 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) semua kesalahan ini jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi Bernama.

Akhbar hari ini melaporkan seorang kakitangan JPN berumur lewat 50an bersama sepasang suami isteri ditahan pihak polis kerana disyaki terbabit dalam pemalsuan MyKad di sebuah rumah sewa di Pujut 2, Miri, Sarawak semalam.

Turut ditahan 13 warga Filipina termasuk enam wanita kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain