suria

Waran Tangkap Tuhan Harun Jika Gagal Bekerjasama

KUANTAN: Mahkamah Rendah Syariah Kuantan akan membuat keputusan sama ada akan mengeluarkan waran tangkap terhadap 'Tuhan Harun' atau Harun Mat Saad, 47, pada 15 November ini jika beliau gagal memberi kerjasama dalam kes menyebarkan ajaran sesat Februari lepas.

Hakim Syarie, Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie menetapkan tarikh tersebut selepas tertuduh gagal hadir buat kali kedua untuk proses pengurusan kes yang sepatutnya ditetapkan pada 20 Ogos lalu.

Abd Wahid turut menangguhkan sebutan semula kes berkenaan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pada 24 April lalu Harun mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan berkaitan penyebaran ajaran sesat, risalah dan buku-buku berkaitan ajaran tersebut.

Dia didakwa menyebar ajaran tersebut dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan Harun atau Tuhan 2013 di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, dekat sini antara Februari hingga 4 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah tersebut di bawah Seksyen 162 (1) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang boleh membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Abdul Wahid Md Ali kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin. -BERNAMA

Artikel Lain