suria

Polis Siasat 10 Kes Dilaporkan Sepanjang PRK Sungai Limau

YAN: Polis sedang menyiasat 10 kes yang dilaporkan sepanjang pilihan raya kecil Sungai Limau.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kesalahan-kesalahan yang sedang disiasat adalah di bawah Akta Pilihan Raya dan Kanun Keseksaan.

"Semua kes yang kami rekodkan merupakan kejadian kecil. Pasukan kita dapat mengawal keadaan dari hari penamaan calon pada 23 Oktober sehingga hari pengundian pada Isnin," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan anggota polis yang terlibat dalam pilihan raya kecil.

Beliau berkata polis kontinjen Kedah menerima bantuan daripada beberapa negeri termasuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta dari Bukit Aman.

Mengenai kes di mana ahli Wanita Umno dilaporkan telah diserang pada hari mengundi, beliau berkata, seorang lelaki telah disoal siasat dan dibebaskan selepas kenyataan beliau direkodkan.

Beliau berkata, polis akan merujuk kes itu kepada pejabat pendakwa negeri untuk tindakan lanjut.

Anggota Wanita Umno Wilayah Persekutuan Norsidah Abu Bakar,50, mengalami kecederaan pada mata kanannya selepas seorang lelaki dipercayai ahli PAS di Ulu Sedaka didakwa menumbuk beliau kira-kira pukul 8.45 pagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain