suria

Lapan Anggota Kongsi Gelap Geng 36 Ditahan, Dalangi Sindiket Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Lapan anggota kongsi gelap Geng 36, yang dipercayai mendalangi kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam Ops Khas Narkotik di sekitar ibu kota, sejak Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Kuala Lumpur ACP Wan Abdullah Ishak berkata empat suspek lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Cheras, pada 21 Sept lepas dan merampas pelbagai jenis dadah seperti ganja seberat 938 gram, heroin 476 gram dan syabu 25 gram.

"Turut dirampas ialah alat penimbang digital, pisau pemotong dan wang tunai RM3,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Khamis.

Susulan penahanan itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 30 dan 34 tahun yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 36, di sebuah rumah di Jalan Semarak kira-kira 6 petang, semalam. Turut dirampas pelbagai jenis dadah disyaki ketamin, syabu dan pil ecstacy.

"Polis menjumpai pelbagai jenis senjata di ruang tamu suspek iaitu lima bilah pedang samurai berukuran 21 hingga 93cm dan enam bilah parang yang berukuran 28 hingga 62cm serta selaras senapang angin di dalam almari.

"Pemeriksaan badan terhadap kesemua suspek mendapati mereka mempunyai tatu di bahagian kiri dan kanan serta di dada yang melambangkan Geng 36," katanya.

Wan Abdullah berkata siasatan awal polis mendapati kesemua suspek terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.

"Melalui semakan rekod jenayah lampau menunjukkan kesemua lapan suspek pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat, kes bunuh dan aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain