suria

Bekas Exco Johor Halimah Sadique Kini Tim. Menteri

Halimah Mohd Sadique
Halimah Mohd Sadique
Halimah Mohd Sadique

JOHOR BAHARU: Datuk Halimah Mohd Sadique, 51, yang dilantik Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, merupakan bekas Exco kerajaan negeri Johor yang berpengalaman dalam pembangunan masyarakat serta kerajaan tempatan.

Bekas guru ini pernah menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Kebajikan Masyarakat negeri Johor pada 1995 hingga 1999, dan pada 1999 hingga 2004, beliau juga diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Wanita dan Kesihatan.

Selepas pilihan raya umum 2004, Halimah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, sebelum bertanding di Parlimen Tenggara pada pilihan raya umum 2008, yang dimenanginya untuk dua penggal.

Bekas Ketua Wanita Umno Johor itu memulakan karier politik pada 1995 selepas terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Lambak pada pilihan raya umum ke-9.

Halimah yang pernah memegang jawatan Exco Pergerakan Wanita Malaysia dari 2000 hingga 2008, terkenal dengan sikap ramah dan rendah diri.

Ibu kepada tiga anak itu juga berpengalaman luas di peringkat pusat dengan memegang jawatan Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) selama empat tahun sehingga tahun lepas, Ahli Lembaga Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2009 hingga kini, dan Ahli Lembaga Pengarah FELCRA pada tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain