suria

Kabinet Sabah Gabungkan Muka Lama, Baharu

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan barisan Kabinet negeri Sabah, yang menggabungkan muka lama dan baharu, sebagai pasukan yang kukuh, dinamik dan boleh bekerjasama bagi meneruskan perancangan dan pelaksanaan agenda dan dasar pembangunan negeri.

Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri percaya pelantikan pemimpin, yang pernah menganggotai jemaah menteri sebelum ini, akan memastikan kesinambungan menerusi pengalaman mereka.

"Dalam masa yang sama, barisan muka baharu juga akan menyuntik idea-idea yang baharu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai menteri," katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan portfolio anggota jemaah menteri negeri Sabah yang baharu di kediamannya di Sri Gaya, dekat sini Jumaat.

Sebelum itu, anggota jemaah menteri Sabah menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Musa berharap barisan jemaah menteri baharu itu dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-sebaiknya bagi memenuhi mandat dan kehendak rakyat sesuai dengan gagasan '1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

Katanya barisan jemaah menteri itu turut dibantu barisan pembantu menteri yang juga menggabungkan muka lama dan baharu.

"Saya tekankan bahawa barisan jemaah menteri dan pembantu-pembantu menteri ini memerlukan sokongan dan dukungan daripada semua wakil rakyat BN.

"Sama ada kita terpilih dalam jemaah menteri dan pembantu menteri atau sebaliknya, sebagai wakil rakyat BN adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita untuk memberikan perkhidmatan dan pembelaan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Musa berkata setiap wakil rakyat mempunyai peranan dan sumbangan yang penting bagi memastikan mandat rakyat dipenuhi, janji ditepati dan dilaksanakan dengan terbaik bagi membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat.

BN Sabah melakar kejayaan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menyaksikan B Nmengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga, memperoleh 48 daripada 60 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri manakala pembangkang memenangi 12 kerusi berbanding satu pada 2008.

Mengenai cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar beberapa wakil BN yang kalah dalam pilihan umum Ahad lepas diberi peluang untuk menjawat Anggota Dewan Undangan Negeri Dilantik, Musa berkata tidak ada cadangan untuk berbuat demikian buat masa ini tetapi sedia menimbangkannya jika ada keperluan.

Mengenai pewujudan Kementerian Tugas-Tugas Khas, beliau berkata perincian skop tugas menteri berkenaan akan diperjelaskan kemudian.

Musa juga mengumumkan bahawa bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran, yang digugurkan daripada barisan Kabinet Sabah yang baharu, dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) berstatus menteri.

Berikut ialah senarai jemaah menteri Sabah dan pembantu menteri yang diumumkan ketua menteri hari ini:

Jemaah Menteri Negeri Sabah:

Ketua Menteri/Menteri Kewangan - Datuk Seri Musa Aman

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Infrastruktur - Tan Sri Joseph Pairin Kitingan

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Yahya Hussin

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Perindustrian - Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan - Datuk Hajiji Noor

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar - Datuk Masidi Manjun

Menteri Tugas-Tugas Khas - Datuk Teo Chee Kang

Menteri Pembangunan Luar Bandar - Datuk Radin Malleh

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat - Datuk Siringan Gubat

Menteri Belia dan Sukan - Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna - Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Senarai Pembantu Menteri Negeri Sabah:

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri

1. Datuk Edward Yong Oi Fah

2. Datuk Ellron Angin

3. Datuk Arifin Mohd Arif

Pembantu Menteri Belia dan Sukan

1. Masiung Banah

Pembantu Menteri Kewangan

1. Datuk Ramlee Marahaban

2. Datuk Michael Asang

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur

1. Datuk Bobbey Ahfang Suan

2. Datuk Ghulam Haidar

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan

1. Datuk Zakaria Edris

2. Datuk Dr Joachim Gunsalam

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat

1. Datuk Hamisah Samat

Pembantu Menteri Menteri Pertanian dan Industri Makanan

1. Datuk Sairin Karno

2. Datuk Musbah Jamli

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian

1. Datuk Bolkiah Ismail

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar

1. Datuk Pang Yuk Ming

2. Datuk Kamarlin Ombi

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna

1. Lasiah Baranting @ Anita - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain