suria

Penggunaan Bahasa 'Rojak' Menghakis Kekuatan Bahasa Kebangsaan - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan Konvoi Kembara Bahasa 2012 sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai, N.Sembilan. Turut serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. -fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan Konvoi Kembara Bahasa 2012 sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai, N.Sembilan. Turut serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. -fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan Konvoi Kembara Bahasa 2012 sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai, N.Sembilan. Turut serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. -fotoBERNAMA

NILAI: Penggunaan Bahasa Melayu "rojak" yang berleluasa dalam kalangan masyarakat adalah satu kes kehilangan bahasa, yang mana jika tidak dibendung akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehilangan bahasa boleh berlaku pada tahap masyarakat umum, apabila sejumlah besarnya tidak fasih lagi menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sepenuhnya, sama ada secara lisan atau tulisan.

"Dengan adanya kecanggihan alat media dan komunikasi seperti siaran radio, televisyen, internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial seperti Facebook dan Twitter, sering kali ejaan dan sebutan tidak digunakan dengan betul.

"Penggunaan Bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan dalam mengharungi dunia globalisasi. Ini merupakan satu petanda yang amat buruk bahawa bangsa berkenaan sedang mengalami kehilangan bahasa," katanya semasa berucap merasmikan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Stadium Tertutup Nilai di sini, Rabu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, masyarakat perlu berhenti daripada berasa malu menggunakan bahasa kebangsaan dan menggunakannya dengan rasa bangga dalam kehidupan seharian seperti sewaktu menghadiri persidangan, mesyuarat, menulis laporan atau berbual dengan rakan sekerja.

Katanya, setelah negara merdeka sejak 55 tahun lalu, tidak ada alasan untuk masyarakat untuk tidak memahami bahasa kebangsaan, sehinggakan terpaksa menggunakan Bahasa Inggeris terutama dalam majlis-majlis yang dianjurkan.

"Bukanlah bermakna Bahasa Inggeris tidak penting, tetapi jika kita tidak menggunakan bahasa kebangsaan, bermakna kita tidak memartabatkan bahasa kita. Sekiranya kita tidak memartabatkan bahasa kita, masakan orang lain akan melakukannya," katanya.

Katanya, selain memartabatkannya di peringkat negara, kerajaan sentiasa menyokong penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa demi menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

Muhyiddin berkata, martabat bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi sebenarnya menunjukkan kemampuan dan keberkesanannya di mana bahasa kebangsaan itu diajar dan diteliti di lebih 100 buah universiti di Eropah, Australia, New Zealand dan Amerika Utara selain rantau Asia Tenggara.

"Setakat ini empat Kursi Pengajian Melayu telah ditubuhkan oleh kerajaan iaitu di Leiden, Wellington, Beijing dan Seoul untuk mengangkat martabat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa," katanya.

Katanya, semua pihak termasuk IPT, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institusi Terjemahan dan Buku Malaysia, badan-badan bukan kerajaan dapat membantu kerajaan dalam membuktikan kemampuan bahasa kebangsaan agar menjadi saluran kemajuan negara.

Katanya, antara gerakan besar yang mesti diusahakan termasuklah melengkapkan khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan iaitu untuk menyaksikan nisbah 0.01 peratus jumlah penerbitan buku setahun berbanding dengan jumlah rakyat.

"Ini bererti bahawa negara memerlukan 28,000 judul buku setahun tetapi pada ketika ini ia masih jauh dari sasaran. Pada tahun 2011, kita hanya menerbitkan sekitar 17,000 judul buku," katanya.

Katanya, selain itu, bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi, Program Audit Bahasa di jabatan dan agensi kerajaan yang akan dimulakan tahun depan akan menggunakan kaedah penarafan bintang.

Muhyiddin berkata program itu adalah bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi negara.

Katanya, selain sektor awam, sektor swasta juga wajar mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan perniagaan dan pengurusan khususnya yang melibatkan masyarakat.

Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 yang bertemakan "1Bahasa 1Bangsa 1Negara" merupakan kegiatan utama Dewan Bahasa dan Pustaka yang berobjektif untuk memantap, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia, menguat rasa megah terhadap bahasa kebangsaan selain mengerat perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Awang Sariyan. - BERNAMA

Artikel Lain