suria

Syabu Seberat 4KG Dengan Nilai Pasaran RM1 Juta Dirampas Di LTAB P.Pinang

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas empat kilogram dadah syabu yang disembunyikan di dalam beg lelaki itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTAB) di sini Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abd Rahim Hanafi berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan kira-kira 5.40 petang semalam manakala nilai pasaran dadah itu ialah RM1 juta.

Suspek dalam perjalanan dari Mali (Afrika Barat), Singapura dan Pulau Pinang dan telah empat kali masuk ke negara ini dalam tempoh setahun, katanya dalam sidang akhbar di sini Khamis.

"Selepas kawalan ketat yang diambil di LTAB Kuala Lumpur, sindiket pengedaran dadah telah mengalihkan laluan masuk dengan menggunakan LTAB yang lain seperti Pulau Pinang," kata Abd Rahim.

Katanya suspek ditahan reman sehingga 22 Ogos untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Abd Rahim menyaksikan majlis serah terima tugas ketua jabatan siasatan jenayah Pulau Pinang daripada SAC Zahruddin Abdullah kepada SAC Mazlan Kesah.

Zahruddin dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Agama dan Kaunseling) di ibu pejabat polis Bukit Aman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain