suria

Negeri Sembilan Peroleh RM2.8 Juta Hasil Pengeluaran Bahan Mineral & Galian

SEREMBAN: Negeri Sembilan mendapat pulangan RM2.8 juta menerusi pengeluaran bahan mineral dan galian seperti batuan, bijih timah, bijih besi dan pasir bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pendapatan itu melebihi nilai RM2.6 juta yang diperoleh bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Ini perubahan yang baik dan saya yakin dengan lebih banyak permit baru dikeluarkan kepada syarikat yang mahu mengeluarkan hasil bumi di negeri ini, pendapatan kerajaan negeri akan bertambah lagi," katanya menjawab soalan Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Selasa.

Mohamad berkata bagi meningkatkan pengeluaran hasil mineral dan galian di negeri ini, kerajaan negeri kini telah memudahkan urusan pengeluaran permit operasi kepada syarikat dan menetapkan kadar deposit yang lebih rendah.

Katanya sebelum ini kerajaan negeri menetapkan syarat yang ketat terhadap syarikat yang ingin mendapatkan permit dan meminta mereka membayar deposit sebanyak 100 peratus berdasarkan nilai bahan mineral dan galian yang dikenal pasti di sesuatu kawasan.

Bagaimana pun kini, katanya kerajaan negeri telah memudahkan syarat itu di mana syarikat yang ingin mendapatkan permit dan mengeluarkan hasil mineral dan galian hanya perlu meletakkan deposit sebanyak 20 peratus dari hasil yang dikenal pasti.

"Jika sebelum ini banyak syarikat dan pelombong tawar hati apabila diminta meletakkan deposit 100 peratus, jadi apabila kita menurunkan kadar deposit kepada 20 peratus diharap dapat menarik minat mereka untuk menjalankan operasi di negeri ini.

"Diharapkan dengan usaha ini juga akan dapat meningkatkan pendapatan kerajaan negeri kerana setiap lima peratus hasil bumi yang dikeluarkan oleh syarikat terlibat, kita akan kenakan royalti sebanyak lima peratus," jelasnya.

Mohamad berkata kerajaan negeri juga mengapungkan harga bahan mineral dan galian mengikut harga pasaran semasa yang pastinya akan menarik minat syarikat pelombong untuk menjalankan operasi di negeri ini.

Katanya Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan telah diarah untuk menjalankan kajian dua kali setahun terhadap harga pasaran semasa bahan mineral dan galian tersebut bagi memperoleh harga yang lebih realiti. - BERNAMA

Artikel Lain