suria

Bagaimana Lima Bawa Kemakmuran Kepada Peniaga Tempatan

PAMERAN Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima)baru sahaja selesai hujung minggu lalu. Penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan di atas daya usaha mereka membawa para editor dan penulis kanan ke sana Rabu lalu.

Walaupun terpaksa menaiki pesawat Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tempat duduknya hanyalah beralaskan jaring kanvas tetapi itu sama sekali tidak mengapa. Hanya sekadar sakit punggung dan pinggang bagi mereka yang tidak biasa seperti mana penulis.

SEJARAH

Rakyat Malaysia khususnya penduduk Langkawi wajar berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana wawasannya yang jauh ke hadapan dengan memperkenalkan Lima kepada dunia luar.

Jika tidak kerana daya usaha Dr Mahathir yang berpandangan jauh, Lima tidak mungkin berada dalam peta pameran udara dan maritim dunia.

Lima 2011 sebenarnya telahpun mencatat rekodnya yang tersendiri. Pada hari pertama sahaja, ia telah menarik kedatangan 15,000 pengunjung perdagangan iaitu yang terbesar sejak ia pertama kali diadakan pada 1991.

Malah jumlah pengunjung keseluruhan juga yang terbesar dalam sejarah pameran itu.

“Ini merupakan rekod baru buat Lima sejak ia pertama kali diadakan pada 1991. Pameran sebelum ini mencatat antara 8,500 hingga 9,000 pengunjung pada hari pertama,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga berkata, kira-kira 350 wartawan dari dalam dan luar negara telah mendaftar di pusat media Lima untuk membuat liputan sepanjang pameran dan pertunjukkan udara ini berlangsung.

LAKU

Lima bukan sahaja membuka Langkawi kepada dunia luar tetapi apa yang penulis sempat saksikan ialah bagaimana peristiwa seperti ini walaupun singkat telah membawa keuntungan dan perniagaan kepada penduduk Langkawi.

Ketika rombongan kami singgah sebentar di pekan Kuah sejurus sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, penulis dapat saksikan betapa kedai-kedai bebas cukai dan kedai-kedai lain dipenuhi dengan perwakilan tentera dari negara luar khususnya anggota-anggota tentera laut asing yang turun ke Kuah kerana kapal perang mereka berlabuh di Porto Malai.

Setiap kapal perang boleh membawa beribu kelasi dan bayangkan jumlah kelasi yang membanjiri pekan Kuah dan pekan-pekan lain di Langkawi pada waktu terluang mereka.

Bas demi bas pelancong menurunkan penumpang yang kebanyakkannya anggota tentera negara asing ke pekan Kuah. Dan dalam tempoh sejam, mereka membeli-belah dan memborong begitu banyak sekali barangan termasuklah barangan buatan tempatan.

Bukan sahaja bas, penulis lihat perkhidmatan teksi dan kereta sewa juga sibuk menurunkan pelancong asing dan juga tempatan yang turut sama menyaksikan pameran udara dan maritim ini.

Penulis dimaklumkan tidak ada bilik hotel yang kosong sepanjang tempoh Lima berlangsung malah bilik hotel bajet sekali pun habis disapu pelancong yang membanjiri Langkawi.

Para operator hotel dan resort telah mengambil peluang ini untuk meningkatkan kadar sewaan bilik sehingga tiga kali ganda dan itu pun habis ditempah kerana Lima.

Seorang murid dari Sik, Kedah bernama Ahmad Nadzirin Yahaya turut sama mengambil peluang ini dengan datang ke Langkawi untuk menjual air di tepi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di mana pameran dan pertunjukkan udara berlangsung selama sejam setiap hari dari jam 11.30 hingga 12.30 tengah hari.

Malah dia menjadi sangat kreatif dengan menamakan air minumannya dengan nama pesawat pejuang yang mengambil bahagian seperti ‘Air Tembikai Tentera Udara’, ‘Air Anggur Sukhoi’ dan ‘Air Oren MIG’.

Pemilik Kafe Internet, Zubir Samat, 48, yang membuka premis perniagaannya di Padang Mat Sirat iaitu pekan yang paling hampir dengan Lima pula berkata, tempatnya menerima kedatangan pelanggan pada jumlah yang luar biasa setiap kali adanya Lima.

“Dengan populariti laman sosial seperti Facebook, ramai pengunjung ke Lima ingin berkongsi gambar rakaman mereka di pertunjukkan udara dan laut dengan segera bersama kawan-kawan dan sanak saudara yang tidak dapat datang ke sini. Jadi mereka datang untuk memuat turunkan gambar di kedai saya,” katanya.

RESTORAN

Dan penulis juga diberitahu boleh dikatakan setiap malam, orang ramai terpaksa beratur menunggu tempat duduk di pelbagai restoran popular seperti Restoran Makanan Laut Orkid Ria di Pantai Cenang.

Pengendali restoran itu, Loh Ah Min, 61, sempat berkata, pelanggan akan meningkat sehingga 20% setiap kali Lima berlangsung.

“Kami telah menghidangkan masakan untuk menteri, tetamu luar negara dan pemamer antarabangsa setiap malam sehingga berakhirnya Lima,” ujarnya.

Pemilik Restoran Jom Ikan Bakar, Mazlina Ghazi, 35, turut menyatakan perkara yang sama. Restorannya yang terletak berdekatan dengan pusat pameran Lima telah mula dipenuhi pelanggan seawal jam 10 pagi.

“Kami menghidangkan makanan untuk lebih 1,000 orang pelanggan setiap hari semasa berlangsungnya Lima dan kebanyakkan pelanggan kami ialah rakyat asing yang mengambil bahagian dalam Lima dan mereka menyukai masakan tempatan,” katanya.

Jadi, sekali lagi, berterima kasihlah kepada Dr.Mahathir kerana beliaulah Langkawi makmur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain