suria

Polis Tumpas Kumpulan Penjenayah Di Bangsar

KUALA LUMPUR: Empat lelaki tempatan berusia 30-an yang bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, samun dan dadah ditahan polis di Bangsar di sini Jumaat lalu.

Tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan daripada seorang pelayan restoran berusia 26 tahun di sebuah pusat membeli-belah terkenal, di sini, yang diancam dengan sepucuk pistol palsu oleh seorang daripada suspek pada kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner (ACP) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, sebelum itu, pengadu terbabit bertindak mengejar dua daripada suspek yang datang makan di restoran berkenaan selepas mereka meninggalkan premis itu tanpa membuat bayaran sebanyak RM100.

Bagaimanapun, seorang daripada suspek ketika dihampiri bertindak mengeluarkan sepucuk pistol palsu sambil mengugut pengadu sebelum menyerahkan sebuah telefon bimbit kepadanya dan berjanji akan datang membuat bayaran pada keesokan hari.

"Selepas mendapat aduan, polis membuat rondaan di sekitar kawasan Jalan Maarof, di sini dan berjaya menangkap semua suspek di sekitar jalan berkenaan sejam kemudian.

"Pemeriksaan polis mendapati tiga suspek berasal dari Kangar, Perlis serta seorang lagi beralamat di Ampang, di sini, masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau dan tersabit pelbagai kesalahan termasuklah curi, rogol, ugutan jenayah, dadah dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Isnin.

Selain itu, ujian air kencing terhadap suspek mendapati semua mereka positif dadah.

Menurut Wan Abdul Bari, berikutan tangkapan itu, polis juga berjaya menemui sebuah kenderaan jenis Proton Waja, satu set alat menghisap dadah, satu set kunci kereta serta sepucuk pistol palsu.

Katanya, semua suspek dipercayai sudah terbabit dalam 15 kes jenayah di sekitar daerah Brickfields sejak awal tahun ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Nigeria berusia 29 tahun yang menetap di negara ini sejak empat bulan lepas, ditahan selepas polis menemui dadah jenis kanabis seberat 8.3 kilogram bernilai RM15,000 di sebuah kondominium di Sri Petaling, di sini, Sabtu lalu.

Wan Abdul Bari berkata atas maklumat orang ramai, polis menyerbu kediaman suspek pada pukul 12.15 tengah malam dan menemui dadah berkenaan dalam beg.

Katanya ujian air kencing ke atas suspek menunjukkan negatif dadah dan mempunyai dokumen sah untuk masuk ke negara ini.

Suspek masih lagi ditahan reman sehingga 3 September ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azhar CEO Baru MRT Co

Artikel Lain