suria

Kain Rentang Palsu: Pemuda Umno Kedah Buat Laporan Polis

ALOR SETAR: Pemuda Umno Negeri Kedah pada Isnin membuat laporan polis mengenai dua kain rentang palsu yang menggunakan gambar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan didakwa dibuat pergerakan itu.

Ketua Pemuda Umno Kedah Badrol Hisham Hashim berkata beliau terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pagi tadi berikutan pemasangan kain rentang ucapan tahniah kepada Kolej Universiti Insaniah (Kuin) itu merupakan kain rentang palsu kerana Pemuda Umno Kedah tidak terlibat langsung dengan kain rentang itu.

Katanya satu daripada kain rentang itu dipasang di Bangunan Persekutuan berhampiran bulatan Jalan Sultan Badlishah di sini dan satu lagi di Bulatan Stadium Darulaman.

"Jelas kain rentang berkenaan adalah satu kain rentang palsu yang dibuat pihak tertentu yang mempunyai maksud terlindung dan berniat jahat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini, Isnin.

Katanya Pemuda Umno Kedah kesal dengan penggunaan gambar Ahmad Bashah dan kata-kata yang ditulis pada kain rentang berkenaan kerana ia adalah satu tindakan berbentuk provokasi kepada Umno. "Ia cuba mencetuskan persepsi salah kononnya Umno terlibat dengan kemelut yang sedang melanda Kuin ketika ini. Kita semua sedia maklum, kerajaan negeri sedang berhadapan dengan beberapa masalah berkaitan pentadbiran universiti berkenaan seperti penggantungan beberapa pelajar dan demonstrasi sekumpulan pelajar baru-baru ini.

"Kami percaya pihak yang memasang kain rentang itu mahu mengheret Umno Kedah dan Pemuda Umno Kedah dalam kemelut antara kerajaan negeri dengan Kuin," katanya.

Badrol Hisham berkata penggunaan perkataan "Daripada Pemuda Umno Kedah" memberikan gambaran pihaknya yang memasang kain rentang berkenaan sedangkan Pemuda Umno Kedah tidak terlibat langsung dalam perkara berkenaan.

"Pemua Umno ingin menegaskan bahawa kami mahupun ejen kami tidak pernah langsung terlibat dengan sebarang aktiviti pemasangan kain rentang berkenaan. Pihak yang memasang kain rentang itu berniat jahat dengan menggunakan nama Pemuda Umno Kedah. Mereka cuba mewujudkan persepsi negatif tentang Pemuda Umno Kedah," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengesan kain rentang berkenaan pada Sabtu lepas dan menanggalkannya tetapi ia dipercayai dipasang semula pada Jumaat malam.

Katanya laporan polis yang dibuat hari ini bertujuan meminta polis menyiasat serta mengambil tindakan terhadap pihak yang mencipta, mencetak serta memasang kain rentang berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain