suria

Dua Kementerian Bekerjasama Cari Bakat Seni Di Kalangan Belia

PUTRAJAYA: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, mencari bakat-bakat belia dalam seni budaya bagi menjadikan ia sebagai sebuah industri, dan bukan untuk persembahan ramai semata-mata.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kedua-dua kementerian itu akan bekerja rapat dalam mencari belia yang berbakat dalam bidang seni budaya.

"Bakat-bakat ini perlu kerana ramai di kalangan belia ketika ini mempunyai bakat dari menyanyi, mengubah lagu, melukis, mengukir seni kraf hinggalah mereka tari (koreografi).

"Ini semua kita harus lihat sebagai industri dan bukan sebagai seni budaya untuk persembahan ramai sahaja," katanya kepada media selepas melancarkan Karnival Seni Budaya 1Malaysia sempena Himpunan Sejuta Belia 2011, di sini Sabtu.

Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais.

Rais berkata kedua-dua kementerian itu akan menyusun latihan bagi menonjolkan bakat-bakat belia tersebut dalam bidang masing-masing sebagai satu persembahan pentas "yang hebat bagi tanahair kita".

"Kami (kedua-dua kementerian) akan bergerak bersama. Detail (pencarian bakat) akan kami umum dalam tempoh terdekat," katanya.

Rais juga berkata Malaysia boleh mencontohi negara Korea dan Taiwan yang mencungkil bakat daripada kumpulan belia mereka.

"Kita boleh belajar daripada mereka," katanya.

Rais kemudiannya sempat bertemu dengan rakan rakan Facebook beliau yang terdiri daripada golongan belia di gerai Sahabat 1Malaysia.

Sempena Himpunan Sejuta Belia tersebut, Kementerian Belia dan Sukan turut menjemput artis antarbangsa iaitu kumpulan K-Pop Super Junior M dari Korea yang akan mengadakan persembahan pada malam ini selama dua jam bermula 9 malam di Pentas Utama, Simpang Empat Jalan Kemerdekaan, Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain