suria

Dewan Rakyat Rakam Takziah Kematian Tun Dr Lim Chong Eu

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas ketua menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu yang meninggal dunia, Rabu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang memaklumkan perkara itu selepas selesai sesi soal jawab lisan pagi Khamis, turut menjemput semua Anggota Parlimen untuk bangun dan bertafakur selama seminit bagi menghormati pemergian Dr Lim.

"Dengan perasaan dukacita dan sedih saya ingin memamaklumkan bahawa Tun Dr Lim Chong Eu mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, bekas Presiden Gerakan dan mantan Anggota Parlimen Tanjong telah meninggal dunia semalam.

"Bagi pihak semua anggota dewan dan Parlimen, saya merakamkan ucapan takziah kepada balu mendiang, Toh Puan Goh Sing Yeng, dan seluruh keluarga mendiang. Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada negara," katanya.

Dr Lim, 91, meninggal dunia pukul 9.07 malam Rabu setelah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang selama hampir sebulan akibat serangan angin ahmar.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan empat orang anak. - BERNAMA

Artikel Lain