suria

Tiada Projek Lapangan Terbang Baru Dalam RMK-10

SIBU: Tidak ada projek baru membina lapangan terbang di negara ini dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Bagaimanapun, katanya, beberapa lapangan terbang sedia ada termasuk di Sabah dan Sarawak akan dinaik taraf.

Bercakap kepada pemberita pada upacara pecah tanah bagi kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sibu di sini pada Isnin, beliau berkata sistem jalan raya yang baik di Semenanjung Malaysia bermakna pembinaan lapangan terbang yang baru bukan satu pilihan.

Katanya, kerajaan pusat sedia menimbang permohonan daripada kerajaan negeri untuk menambah bilangan penerbangan ke negeri berkenaan jika jumlah penumpang mencukupi.

Mengenai projek menaik taraf Lapangan Terbang Sibu berharga RM136 juta, Kong berkata bilangan penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu dijangka mencecah satu juta orang tahun depan berbanding 855,000 yang dijangka tahun ini.

Projek itu melibatkan pembesaran kawasan meletak pesawat, menambah bilangan tempat meletak kereta daripada 500 kepada 3,000 selain menambah baik bangunan terminal. - BERNAMA

Artikel Lain