suria

Anak Bunuh Bapa Dihadap Ke Mahkamah

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh bapanya dalam kejadian di Kampung Pulau Duyong Besar Rabu lepas.

Bagaimanapun, tertuduh, Shahrul Azmi Che Mat, 20, kelihatan bingung ketika pertuduhan dibacakan dan telah mengulang kembali perkataan 'dituduh membunuh' dengan nada pertanyaan selepas jurubahasa selesai membacakan pertuduhan.

Keadaan itu menyebabkan jurubahasa mahkamah terpaksa membacakan sekali lagi pertuduhan tersebut yang kemudian difahami oleh tertuduh.

Suspek yang bekerja sebagai pembaiki bot dituduh membunuh bapanya, Che Mat Nik, 51, di nombor 3635, Kampung Pulau Duyong Besar, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 3 Feb lepas.

Dia dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad kemudian meminta mahkamah memberikan tempoh dua bulan sebelum sebutan semula kes itu dilakukan bagi membolehkan laporan bedah siasat mangsa dan laporan kimia disediakan.

Majistret Nor Azizah Yusop menetapkan 6 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, suspek didakwa bertindak menikam bapa kandungnya sehingga mati dan mencederakan abangnya yang ketika itu sedang tidur di rumah mereka selepas dikatakan mendengar satu bisikan yang mengarahkannya supaya berbuat demikian.

Abang suspek, Irwan Affandi Che Mat, 30, yang cedera parah akibat ditikam dalam kejadian itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. - BERNAMA

Artikel Lain