suria

PGA Rampas 80 Kampit Beras Bernilai RM14,000

RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (BN7 PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk beras yang menggunakan kampit bungkusan beras dicop 'Bernas Malaysia' untuk mengaburi pihak berkuasa, dalam operasi di sini semalam.

Pegawai Pemerintah BN7 PGA, Supritendan Mohamad Khalid Wahab berkata, serbuan dilakukan hasil intipan susulan Unit Risikan BN7 PGA yang mendapati beras seludup terbabit dibawa melalui pengkalan haram Tok Rusa, dekat sini.

"Satu serbuan dilakukan anggota PGM di sebuah stor di Kampung Belukar, Pasir Mas yang dipercayai digunakan sebagai tempat pengumpulan beras tersebut kirakira pukul 7.30 malam.

"Hasil pemeriksaan dalam stor itu pihak kami menemui sebanyak 41 kampit beras 50 kilogram yang dianggarkan berat keseluruhannya 2,050 kilogram, yang merupakan beras wangi bagi pasaran tempatan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di belakang kawasan stor itu turut menemui kesan pergerakan penyeludup yang menuju ke sebuah rumah kosong dan tidak bernombor sebelum pihaknya menemui sebanyak 39 kampit beras wangi 50 kilogram yang disembunyikan di rumah terbabit.

Mohamad Khalid berkata, keseluruhan 80 kampit beras wangi 50 kilogram itu dianggarkan bernilai RM14,000.

Menurutnya, penyeludup menggunakan helah berkenaan bagi mengelirukan pihak berkuasa dan beras terbabit dipercayai untuk pasaran luar Kelantan yang dijual dengan harga yang tinggi ekoran permintaan tinggi daripada pelanggan tempatan.

Beliau berkata, kesemua rampasan beras itu akan diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi Beras Negeri Kelantan.

Sementara itu, beliau berkata kegiatan penyeludupan beras dari negara jiran menunjukkan peningkatan walaupun ketika Sungai Golok menghadapi banjir dan air pasang beberapa bulan lalu.

"Keadaan berkenaan menjejaskan tugas intipan dan pemantauan pihak kami, bagaimanapun kami meningkatkan strategi kawalan melalui pengawasan dan pencegahan dengan menambah anggota kawalan di tempat-tempat strategik serta mengadakan sekatan jalan raya dan sekat pintas baru dalam kawasan terbabit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain